Skip to main content

Dunia

Trump berikrar untuk “bertindak balas” susulan kematian tentera Amerika dalam serangan IS di Syria

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (13 Dis) berkata Amerika Syarikat akan bertindak balas selepas dua anggota tenteranya dan seorang jurubahasa awam terbunuh di tengah Syria oleh seorang anggota kumpulan bersenjata yang didakwa daripada kumpulan Negara Islam (IS).
Anggaran Waktu Membaca:
Trump berikrar untuk “bertindak balas” susulan kematian tentera Amerika dalam serangan IS di Syria
Gambar fail Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 17 November 2025. (Gambar: REUTERS/Evelyn Hockstein)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (13 Dis) berkata Amerika Syarikat akan bertindak balas selepas dua anggota tenteranya dan seorang jurubahasa awam terbunuh di tengah Syria oleh seorang anggota kumpulan bersenjata yang didakwa daripada kumpulan Negara Islam (IS).

“Kami akan bertindak balas,” kata Encik Trump kepada para wartawan di luar Rumah Putih, sambil menambah sejurus kemudian di platform Truth Social miliknya bahawa Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, “amat marah dan terganggu dengan serangan ini”.

Dua anggota tentera Amerika Syarikat dan jurubahasa awam itu terbunuh di tengah Syria pada Sabtu selepas seorang individu yang didakwa anggota IS melepaskan tembakan ke arah pasukan rondaan bersama antara Amerika Syarikat dan Syria, menurut para pegawai.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengumumkan kematian tersebut di platform X selepas media rasmi Syria melaporkan bahawa satu serangan di bandar Palmyra mencederakan beberapa anggota tentera Amerika dan Syria.

“Serang hendap oleh seorang penembak ISIS yang bersendirian” mengakibatkan kematian tiga warga Amerika itu serta mencederakan tiga lagi anggota tentera, kata CENTCOM, yang menyelia operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Timur Tengah.

“Penembak tersebut didekati dan dibunuh,” menurutnya.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata serangan itu berlaku ketika para anggota tentera tersebut “sedang menjalankan pertemuan pemimpin utama” bagi menyokong operasi menentang keganasan, manakala utusan Amerika Syarikat ke Syria, Tom Barrack, berkata serangan hendap itu menyasarkan “rondaan bersama pemerintah Amerika Syarikat–Syria”.

Encik Parnell berkata identiti anggota tentera yang terkorban akan dirahsiakan sehingga keluarga mereka dimaklumkan.

ANGGOTA TENTERA AS PERTAMA TERBUNUH DI SYRIA DALAM SETAHUN

Kejadian itu merupakan yang pertama dilaporkan sejak pasukan pimpinan Islam menggulingkan pemerintah lama Syria, Bashar al-Assad, pada Disember 2024, sekali gus menghidupkan semula hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat.

Agensi berita negara Syria, SANA, yang memetik sumber keselamatan, sebelum itu melaporkan bahawa beberapa anggota tentera Amerika Syarikat dan dua anggota perkhidmatan Syria cedera dalam serangan tersebut.

Para anggota tentera itu sedang menyertai satu “lawatan lapangan bersama” di Palmyra, yang pernah dikawal kumpulan IS, lapor SANA.

Banyak runtuhan bersejarah terkenal di bandar itu, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang musnah ketika kumpulan IS menguasai kawasan tersebut sedekad lalu.

Seorang pegawai tentera Syria yang enggan dikenal pasti identitinya berkata tembakan dilepaskan “semasa satu pertemuan antara pegawai Syria dan Amerika” di sebuah pangkalan Syria di Palmyra.

Seorang saksi, yang juga meminta agar identitinya dirahsiakan, berkata beliau mendengar bunyi tembakan dari dalam pangkalan tersebut.

Namun, seorang pegawai Pentagon yang bercakap dengan syarat tidak didedahkan identitinya memberitahu AFP bahawa serangan itu “berlaku di kawasan yang tidak berada di bawah kawalan Presiden Syria”.

“KEMUNGKINAN PENYUSUPAN IS”

Dalam satu temu bual yang disiarkan melalui televisyen negara, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Syria, Anwar al-Baba, berkata terdapat “amaran awal daripada komando keselamatan dalaman kepada pasukan sekutu di kawasan gurun” mengenai kemungkinan “penyusupan” IS.

“Pasukan gabungan antarabangsa tidak mengambil kira amaran Syria mengenai kemungkinan penyusupan IS,” kata beliau.

Menurut Pemantau Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, yang mempunyai rangkaian sumber yang luas di dalam Syria, pertemuan itu adalah sebahagian daripada “strategi Amerika untuk mengukuhkan kehadiran dan pengaruhnya di kawasan gurun Syria”.

SANA melaporkan bahawa helikopter memindahkan mangsa yang cedera ke pangkalan Al-Tanf di selatan Syria, di mana anggota tentera Amerika Syarikat ditempatkan sebagai sebahagian daripada gabungan global pimpinan Washington untuk menentang kumpulan IS.

Bulan lalu, semasa lawatan bersejarah Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, ke Washington, Damsyik secara rasmi menyertai gabungan tersebut.

Kumpulan IS merampas kawasan yang luas di Syria dan Iraq pada 2014 semasa perang saudara Syria, sebelum dihapuskan dari wilayah negara itu lima tahun kemudian.

Namun, para anggotanya masih mengekalkan kehadiran mereka, khususnya di kawasan gurun Syria yang luas.

Pasukan Amerika Syarikat dikerahkan di timur laut Syria yang dikuasai kumpulan Kurdi serta di Al-Tanf berhampiran sempadan Jordan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita