Skip to main content

Dunia

Trump beri Iran 2 minggu elak serangan udara Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Trump beri Iran 2 minggu elak serangan udara Amerika

Presiden Donald Trump bercakap kepada media sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Bandar Morristown di Morristown, N.J. pada Jumaat, 20 Jun 2025. (Gambar: AP/Manuel Balce Ceneta)

Diterbitkan : 21 Jun 2025 07:55AM Dikemas Kini : 21 Jun 2025 10:24AM
BAITULMAKDIS: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata pada Jumaat (20 Jun) bahawa Iran mempunyai tempoh “maksimum” dua minggu untuk mengelakkan kemungkinan sebarang serangan udara Amerika.

Ini sedang Israel mendakwa ia telah melambatkan program nuklear Iran sekurang-kurangnya dua tahun.

“Saya beri mereka tempoh, dan saya akan kata dua minggu adalah maksimum,” kata Encik Trump kepada wartawan apabila ditanya sama ada beliau akan membuat keputusan untuk menyerang Iran sebelum tempoh itu.

Beliau menambah bahawa tujuan tempoh itu adalah untuk “melihat sama ada mereka akan bertindak secara rasional atau tidak.”

Kenyataan terkini Trump memberi petanda bahawa beliau mungkin membuat keputusan sebelum tempoh dua minggu yang ditetapkannya sehari sebelumnya, sambil menolak usaha Eropah untuk menamatkan konflik.

Beliau berkata adalah “sangat sukar” untuk meminta Israel menghentikan serangan mereka.

“Iran tidak mahu berbincang dengan Eropah. Mereka mahu berbincang dengan kami. Eropah tidak akan dapat membantu dalam hal ini,” katanya.

Beberapa letupan kedengaran di Tehran pada Jumaat sedang Israel meneruskan gelombang serangan besar-besaran, yang menurutnya, bertujuan untuk menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear — satu dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.

“Menurut penilaian yang kami dengar, kami sudahun melambatkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun kemungkinan mereka memperoleh bom nuklear,” kata Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Sabtu.

Encik Saar juga berkata serangan Israel, yang telah berlangsung selama seminggu, akan diteruskan.

“Kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk menghapuskan ancaman ini,” katanya kepada akhbar Jerman, Bild.

“Kami sudah mencapai banyak kejayaan, tetapi kami akan lakukan apa sahaja yang kami mampu. Kami tidak akan berhenti sehinggalah kami lakukan segala yang kami boleh untuk menghapuskan ancaman ini.”

Sedang Encik Trump menimbangkan kemungkinan untuk terlibat dalam perang di pihak Israel, diplomat kanan dari Britain, Perancis dan Jerman bertemu dengan rakan sejawatan dari Iran, Abbas Araghchi, di Geneva dan menggesanya untuk menyambung semula rundingan dengan Amerika yang tergantung akibat serangan Israel.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata: “Kami mengajak menteri Iran untuk menimbangkan rundingan dengan semua pihak, termasuk Amerika Syarikat, tanpa perlu menunggu serangan dihentikan — yang kami juga harapkan.”

Namun, Encik Araghchi memberitahu NBC News selepas mesyuarat itu bahawa “kami tidak bersedia untuk berunding dengan (Amerika Syarikat) selagi keganasan berterusan.”

Encik Trump turut berkata bahawa beliau tidak mungkin meminta Israel menghentikan serangan hanya untuk membawa Iran kembali ke meja rundingan.

“Jika seseorang sedang menang, agak sukar untuk minta mereka berhenti,” katanya.

Sebarang pelibatan ketenteraan Amerika kemungkinan besar akan melibatkan penggunaan bom pemusnah kubu bawah tanah yang hanya dimiliki oleh Amerika Syarikat, bagi memusnahkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo.
 
Sumber : Reuters/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita