Skip to main content

Dunia

Trump beri EU masa hingga 4 Julai untuk patuhi perjanjian perdagangan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis (7 Mei) memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya memansuhkan tarif ke atas negaranya menjelang ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika atau berdepan halangan perdagangan yang jauh lebih tinggi, lapor Anadolu Ajansi.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump beri EU masa hingga 4 Julai untuk patuhi perjanjian perdagangan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, beri Kesatuan Eropah masa hingga 4 Julai 2026 untuk memenuhinya janjinya dalam Perjanjian Turnberry yang ditandatangani pada Julai 2025. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 08 May 2026 03:52PM
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis (7 Mei) memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya memansuhkan tarif ke atas negaranya menjelang ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika atau berdepan halangan perdagangan yang jauh lebih tinggi, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya telah menunggu dengan sabar untuk EU memenuhi bahagian mereka dalam perjanjian perdagangan bersejarah yang kami persetujui di Turnberry, Scotland, perjanjian perdagangan terbesar pernah dimeterai,” tulis Encik Trump menerusi platform media sosial Truth Social, selepas bercakap melalui telefon dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

Encik Trump mendakwa, EU sebelum ini berjanji untuk mengurangkan tarif kepada sifar dalam perjanjian perdagangan yang ditandatangani kedua-dua pihak di Britain tahun lalu, namun, komitmen itu masih belum ditunaikan.

Encik Trump berkata, pemimpin Eropah diberi tempoh sehingga 4 Julai 2026 untuk mematuhi perjanjian berkenaan.

Sekiranya blok 27 negara itu gagal memenuhi tarikh akhir tersebut, Encik Trump mengancam untuk menaikkan tarif Amerika Syarikat ke paras yang “jauh lebih tinggi.”

Perjanjian Turnberry pada 27 Julai 2025 menetapkan kadar tarif 15 peratus ke atas kebanyakan eksport Eropah ke Amerika Syarikat, sebagai pertukaran kepada tarif sifar bagi barangan perindustrian dan pertanian utama Amerika yang memasuki EU.

Walaupun Parlimen EU meluluskan undang-undang pelaksanaannya pada Mac dengan undian 417 menyokong berbanding 154 menentang, negara anggota masih berunding untuk memuktamadkan rangka kerja itu menyusuli beberapa syarat yang dilampirkan.

Cik von der Leyen mengesahkan perbualan telefon yang disifatkannya sebagai “sangat baik” dengan Encik Trump dan menyatakan di X bahawa kedua-dua pihak “kekal komited sepenuhnya” terhadap pelaksanaan perjanjian itu, sambil menegaskan “kemajuan baik sedang dicapai ke arah pengurangan tarif menjelang awal Julai.”

Politico, memetik seorang individu yang mengetahui tentang mesyuarat itu, melaporkan pada Khamis bahawa rundingan antara anggota Parlimen EU dengan pemerintah mengenai pelaksanaan perjanjian dengan Amerika Syarikat berakhir pada Rabu malam tanpa sebarang persetujuan.

Encik Trump berkata minggu lalu bahawa Washington akan menaikkan tarif kepada 25 peratus ke atas kereta dan trak yang diimport dari EU, dengan mendakwa blok itu tidak mematuhi perjanjian perdagangan berkenaan.

Selain perdagangan, Encik Trump berkata, beliau dan Cik von der Leyen turut membincangkan perang Iran.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita