Trump beri bayangan ingin bertanding jawatan presiden AS
(Gambar fail: Brandon Bell/Getty Images via AFP)
WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi memberi bayangan bahawa beliau bercadang untuk bertanding semula jawatan presiden pada 2024.
"Saya selalu melakukan apa-apa perkara dua kali. Saya menang dua kali dan akan melakukan lebih baik pada kali kedua serta mendapat berjuta-juta undi berbanding pada 2016 dan memperoleh lebih banyak undi berbanding mana-mana presiden dalam sejarah AS setakat ini," kata Encik Trump di Persidangan Tindakan Politik Konservatif (CPAC) di Dallas, Texas pada Sabtu (6 Ogos), sambil menambah "kini kita mungkin perlu melakukannya sekali lagi".
Bercakap mengenai pilihan raya pertengahan penggal pada November akan datang, Encik Trump berkata Republikan perlu membuat janji menerusi kempen mereka bahawa ia akan "menutup sempadan, menghentikan gelombang jenayah, mengatasi kadar inflasi dan membuat pentadbiran Presiden Joe Biden bertanggungjawab bagi segalanya", lapor Sputnik.
Encik Trump sebelum ini memberitahu New York Magazine bahawa beliau yakin boleh memenangi Pilihan Raya Presiden 2024 jika memilih untuk bertanding semula.
Menurut Encik Trump, beliau sudah membuat keputusan dan akan membuat pengumuman sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Menurut The Washington Post, Encik Trump mungkin mengumumkan keputusannya untuk bertanding seawal September, memandangkan pengumuman awal boleh membantu Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan AS dan Dewan Negara.
Undian semasa Presiden Joe Biden jatuh ke paras terendah di tengah-tengah inflasi yang melambung tinggi, harga bahan api yang semakin meningkat, kadar jenayah yang tinggi, dasar imigresen yang liberal, serta dasar luar yang agresif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.