Trump beri amaran kepada Putin berhubung Ukraine; EU gagal capai kata sepakat bagi sekatan baharu
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (15 Jul) memberi amaran kepada Rusia bahawa negara itu mempunyai tempoh 50 hari untuk bersetuju dengan satu gencatan senjata di Ukraine atau berdepan dengan sekatan baharu, walaupun Kesatuan Eropah (EU) gagal meluluskan pakej sekatan terkininya terhadap Mosko.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa pertemuan dua hala di Sidang Puncak Pemimpin G20 di Osaka, Jepun, pada 28 Jun 2019. (Gambar fail: Reuters/Kevin Lamarque)
Bercakap kepada para wartawan di Rumah Putih, Encik Trump berkata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, tidak seharusnya menyasarkan Mosko meskipun terdapat laporan bahawa beliau secara tertutup menggalakkan serangan lebih mendalam ke atas Rusia.
“Tidak, beliau tidak sepatutnya menyasarkan Mosko,” kata Encik Trump sambil menambah bahawa beliau berpihak kepada “kemanusiaan” dan mahu menghentikan pertumpahan darah.
Encik Trump mempertahankan ultimatum 50 hari yang diberikannya kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, sambil menegaskan bahawa sekatan dan tarif akan dikuatkuasakan ke atas negara-negara yang terus membeli minyak Rusia sekiranya tiada perjanjian dicapai.
“Jika selepas 50 hari kita masih tiada perjanjian, maka ia akan menjadi buruk,” kata Encik Trump.
Kenyataan beliau menyusuli pengumuman pada Isnin mengenai satu pakej bantuan ketenteraan baharu yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi Kyiv. Encik Trump berkata negara-negara Eropah akan membiayai pembekalan sistem peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat dan senjata lain untuk Ukraine.
KREMLIN: TRUMP MUNGKIN MELENGAHKAN KEDAMAIAN
Mosko memberi maklum balas secara berhati-hati, sambil menyatakan bahawa mereka memerlukan masa untuk mengkaji kenyataan Encik Trump. Namun, ia memberi amaran bahawa tindakan itu boleh mendorong Ukraine untuk melanjutkan konflik.
“Nampaknya keputusan seperti ini ... akan dilihat oleh Kyiv bukan sebagai isyarat untuk berdamai, tetapi untuk meneruskan peperangan,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Terdahulu, Rusia meningkatkan serangan udara ke atas bandar-bandar Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan enggan menerima seruan untuk mengadakan gencatan senjata. Sebaliknya, Mosko menuntut agar Kyiv menarik diri dari wilayah-wilayah yang diduduki serta menghentikan semua sokongan ketenteraan dari Barat.
Meskipun pertukaran tahanan berlaku secara berterusan, rundingan damai antara Mosko dan Kyiv masih belum membuahkan hasil yang ketara. Rusia menyatakan bahawa ia kekal terbuka untuk menyertai dialog tetapi masih menunggu cadangan daripada Ukraine.
Askar-askar Ukraine di barisan hadapan memberi reaksi berbelah bahagi. Ada yang mengalu-alukan sejata Amerika Syarikat yang dijanjikan, namun ada juga yang mempersoalkan kebolehpercayaan Encik Trump dan memberi amaran bahawa detik penting sudah berlalu.
EU BERBELAH BAHAGI BERHUBUNG SEKATAN BAHARU
Sementara itu di Brussels, Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, berkata beliau “amat sedih” kerana blok itu gagal mencapai persetujuan mengenai pakej sekatan ke-18 yang menyasarkan Rusia.
“Sekarang keputusan terletak di tangan Slovakia,” kata Kallas, merujuk kepada bantahan berterusan Slovakia berkenaan pelan EU yang berasingan untuk menamatkan penggunaan gas Rusia menjelang 2028.
Sekatan yang dicadangkan termasuk had harga terapung ke atas minyak Rusia, larangan terhadap urus niaga dengan bank-bank yang mengelak sekatan, serta sekatan berkaitan saluran paip Nord Stream Rusia. Langkah-langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan EU untuk menyekat keupayaan Mosko membiayai peperangan di Ukraine.
Walaupun semua negara anggota lain bersedia untuk meneruskan langkah tersebut, Cik Kallas berkata beliau tetap berharap satu persetujuan muktamad dapat dicapai seawal Rabu.
KETEGANGAN MEMUNCAK BERIKUTAN PELAN SENJATA
Sebagai sebahagian daripada dasar yang lebih luas, Encik Trump mengancam akan mengenakan tarif berat ke atas negara-negara yang masih meneruskan perdagangan dengan Rusia sekiranya tiada gencatan senjata dicapai. Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah kebimbangan Eropah mengenai ketidaktentuan dasar luar Amerika Syarikat dan masa depan perpaduan NATO.
Namun begitu, beberapa negara EU termasuk Denmark dan Belanda menyatakan keterbukaan mereka untuk menyertai pelan Encik Trump untuk membeli senjata buatan Amerika Syarikat buat Ukraine.
Pendekatan Encik Trump itu menandakan perubahan pendiriannya yang sebelum ini tidak jelas berhubung pelibatan Amerika Syarikat dalam konflik Ukraine, menyusuli kritikan yang semakin memburuk bahawa negara-negara Barat tidak melakukan usaha yang cukup dalam menghentikan serangan Rusia yang kini memasuki tahun keempat.
Dengan jumlah korban awam yang terus meningkat dan tiada penyelesaian yang jelas dalam masa terdekat, tempoh 50 hari yang ditetapkan kini menjadi penentu bagi Mosko dan Brussels untuk bertindak balas sebelum tarikh akhir Encik Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.