Trump bayangkan sekatan ke atas Korea Utara mungkin dilonggarkan jelang sidang puncak kedua
Seminggu sebelum sidang puncak kedua bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bakal diadakan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara mungkin dilonggarkan.
WASHINGTON: Seminggu sebelum sidang puncak kedua bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bakal diadakan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara mungkin dilonggarkan. Namun, ia hanya dilakukan jika negara itu "mengambil langkah berkesan" terhadap pelucutan senjata nuklearnya.
Bercakap kepada para wartawan di Rumah Putih pada Rabu (20 Feb), Encik Trump juga berkata beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Encik Kim sekali lagi menyusuli sidang puncak di Hanoi, ibu kota Vietnam, pada 27 hingga 28 Februari.
Encik Trump berkata beliau tidak mempunyai tanggapan bahawa Korea Utara enggan melucutkan senjata nuklearnya meskipun tiada kemajuan besar dicapai sejak beliau dan Encik Kim bertemu dalam sidang puncak pertama di Singapura pada Jun lalu.
Sebelum ini, pentadbiran Encik Trump menyatakan bahawa sekatan-sekatan ekonomi ke atas Pyongyang akan terus berkuatkuasa sehingga Korea Utara melucutkan senjata nuklear sepenuhnya.
Encik Trump berkata demikian sedang utusan khasnya bagi Korea Utara, Stephen Biegun, dijadual tiba di Hanoi untuk memuktamadkan persiapan bagi sidang puncak tersebut.
Encik Beigun dijangka mengadakan rundingan bersama rakan sejawatannya dari Korea Utara, Kim Hyok Chol, yang tiba di Hanoi pada Rabu (20 Feb).
Pada Selasa (19 Feb), Encik Trump menekankan bahawa beliau mahu Korea Utara untuk menghentikan program nuklearnya. Bagaimanapun, beliau tidak tergesa-gesa untuk melakukan demikian sekiranya negara itu berhenti menjalankan ujian nuklear dan peluru berpandu yang dikuatkuasakan sejak 2017.
Awal dari itu, sumber-sumber dari Hanoi menyatakan bahawa Vietnam sedang bersiap sedia untuk menyambut ketibaan Encik Kim menerusi kereta api bagi menghadiri sidang puncak bersama Encik Trump.
Encik Kim mungkin mengambil masa selama sekurang-kurangnya dua setengah hari untuk melakukan perjalanan sejauh beribu-ribu kilometer dari Pyongyang ke Vietnam, melalui China menerusi kereta api. Ini bermakna beliau mungkin akan berlepas dari Pyongyang pada lewat minggu ini untuk tiba di Vietnam pada 25 Februari seperti yang dirancangkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.