Skip to main content

Dunia

Trump batalkan semua dokumen ditandatangani Biden guna autopen

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Selasa (2 Dis) beliau akan membatalkan semua dokumen, termasuk pengampunan, yang menurutnya ditandatangani oleh mantan Presiden Joe Biden menggunakan autopen.
Anggaran Waktu Membaca:
Trump batalkan semua dokumen ditandatangani Biden guna autopen
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap semasa mesyuarat kabinet di Rumah Putih pada 2 Disember 2025 di Washington, Amerika Syarikat. (Gambar fail: AP/Julia Demaree Nikhinson)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Selasa (2 Dis) beliau akan membatalkan semua dokumen, termasuk pengampunan, yang menurutnya ditandatangani oleh mantan Presiden Joe Biden menggunakan autopen.

Autopen merupakan sejenis peranti yang digunakan untuk meniru tanda tangan seseorang dengan tepat, biasanya bagi jumlah dokumen yang banyak atau dokumen rasmi.

Ia digunakan oleh presiden kedua-dua parti utama untuk menandatangani surat dan pengisytiharan.

Encik Trump dan para penyokongnya sebelum ini pernah membuat pelbagai dakwaan bahawa tindakan Encik Biden tidak sah atau beliau tidak menyedari perbuatan yang dilakukannya setiap kali beliau menggunakan autopen untuk menandatangani dokumen sepanjang tempoh penggal beliau sebagai presiden.

Ia tidak diketahui sama ada Encik Biden menggunakan alat tanda tangan automatik itu dalam dokumen-dokumen pengampunan.

“Sesiapa yang menerima ‘Pengampunan’, ‘ Hukuman Diringankan’ atau mana-mana Dokumen Undang-Undang lain yang ditandatangani sedemikian, harap maklum bahawa dokumen tersebut dibatalkan sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang,” tulis Encik Trump di platform Truth Social.

Sebelum melepaskan jawatan pada Januari, Encik Biden mengeluarkan beberapa pengampunan, termasuk kepada ahli keluarganya yang ingin dilindungi daripada siasatan yang bermotifkan politik.

Beliau juga meringankan hukuman ke atas beberapa pesalah, termasuk para pesalah dadah yang tidak ganas.

Encik Trump, yang terkenal dengan gaya provokatif dan sikap tidak sukanya terhadap lawan politik, beberapa kali menyasarkan penggunaan autopen oleh Encik Biden untuk menandatangani dokumen-dokumen rasmi ketika pentadbirannya.

Encik Trump turut mempertikaikan tahap kesihatan mental Encik Biden dan mencadangkan bahawa para pembantunya, bukan Encik Biden sendiri, yang membuat keputusan penting.

Namun, Encik Biden dan bekas pembantunya menafikan dakwaan berkenaan, sambil menegaskan peranan aktif beliau dalam mentadbir negara.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita