Skip to main content

Dunia

Trump bakal umum fasa kedua pelan damai Gaza sebelum Krismas

Anggaran Waktu Membaca:
Trump bakal umum fasa kedua pelan damai Gaza sebelum Krismas
Orang ramai di Nuseirat, tengah Gaza, 28 Okt 2025. (Gambar fail: Reuters/Mahmoud Issa)
Diterbitkan : 05 Dec 2025 12:32PM Dikemas Kini : 05 Dec 2025 12:33PM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merancang untuk mengumumkan permulaan fasa kedua pelan damai Gaza, termasuk pembentukan pemerintah baharu, sebelum Krismas.

Demikian menurut laporan Axios pada Khamis (4 Dis), memetik beberapa pegawai Amerika Syarikat.

Laporan itu turut menyebutkan bahawa dalam masa beberapa minggu akan datang, pemerintahan Encik Trump bersiap mengumumkan perincian Dewan Pemerintahan dan menghuraikan pelaksanaan pelan damai yang lebih luas untuk Gaza.

Seperti yang dibentangkan dalam senarai pelan damai 20 perkara yang disarankan Encik Trump, fasa kedua merangkumi pengunduran Israel dari wilayah-wilayah tambahan di Gaza, pengerahan Pasukan Pengaman Antarabangsa (ISF), dan pembentukan struktur pemerintahan baharu, yang merangkumi Dewan Perdamaian dipimpin Encik Trump.

Struktur pemerintahan itu akan dipimpin oleh Dewan Perdamaian dipimpin Encik Trump, terdiri daripada sekitar 10 pemimpin dari negara-negara Arab dan Barat, menurut laporan tersebut.

Laporan itu menambah bahawa di bawah Dewan Perdamaian, akan dibentuk sebuah dewan eksekutif antarabangsa yang dianggotai mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair, Utusan Khas Encik Trump, Jared Kushner dan Steve Witkoff, serta sejumlah pejabat dari negara-negara yang diwakili dalam Dewan Perdamaian.

Pada gilirannya, pemerintahan teknokrat Palestin akan berfungsi di bawah dewan eksekutif dan terdiri daripada antara 12 dan 15 individu dengan anggota pengurusan dan perniagaan, yang tidak terkait dengan Hamas, Fatah atau parti atau kumpulan Palestin lain.

Buat masa ini, Amerika Syarikat, Qatar, Mesir, dan Turki terlibat dalam rundingan dengan Hamas untuk mencapai kesepakatan agar kumpulan itu akan menyerahkan kepimpinan Gaza dan mula melucutkan senjata yang mereka miliki.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita