Trump arahkan tarif baharu 50% ke atas barangan Kanada
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney semasa jamuan makan tengah hari bersama para pemimpin G7 dan Timur Tengah di Evian-les-Bains, Perancis, pada 16 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Evelyn Hockstein)
Tarif tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari dan meliputi pelbagai barangan termasuk wain, kayu hoki dan simen, menurut lembaran fakta Rumah Putih.
Encik Trump, yang menyaksikan banyak tarifnya dibatalkan oleh Mahkamah Agung awal tahun ini, menggunakan peruntukan undang-undang yang belum pernah diuji bagi mengenakan tarif baharu itu, iaitu Seksyen 338 Akta Tarif 1930.
Rumah Putih menyatakan tarif terbaharu itu tidak akan dikenakan ke atas tenaga, kalium dan barangan yang sudah tertakluk kepada tarif khusus mengikut sektor.
Namun, yang lebih penting, tarif itu akan dikenakan ke atas produk yang dilindungi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Sejak kembali memegang jawatan presiden tahun lalu, Encik Trump mengenakan tarif secara meluas terhadap rakan dagang Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, sebelum ini kebanyakan perintah tersebut mengecualikan barangan yang memasuki negara itu di bawah perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara.
Tindakan terbaharu Encik Trump berisiko terus merenggangkan hubungan antara Washington dengan Ottawa. Ia dibuat hanya beberapa hari selepas beliau mengancam Kanada dengan tarif yang lebih tinggi menyusuli asap kebakaran hutan yang merebak ke Amerika Syarikat.
Dalam mengumumkan tarif baharu itu, Rumah Putih menyatakan Kanada merupakan salah satu daripada hanya dua negara, bersama China, yang bertindak balas terhadap tarif menyeluruh yang dikenakan Encik Trump tahun lalu.
Rumah Putih turut mengkritik tindakan kebanyakan wilayah di Kanada yang menghentikan pembelian produk alkohol Amerika Syarikat sebagai memboikot produk tersebut menyusuli ancaman tarif Encik Trump dan gesaan berulang kali supaya Kanada dijadikan "wilayah ke-51" Amerika.
"Kanada telah mengeluarkan produk alkohol Amerika Syarikat dari rak-rak kedai di negara itu, memberikan akses pasaran yang lebih baik kepada produk tenusu dari Kesatuan Eropah (EU), serta mengehadkan eksport kenderaan Amerika Syarikat ke Kanada daripada syarikat yang memindahkan semula operasi mereka ke Amerika Syarikat," kata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer dalam kenyataannya.
Beliau berkata pengumuman tarif itu bertujuan "mempertanggungjawabkan Kanada atas tindakan balas dan diskriminasinya".
RISIKO TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Langkah Encik Trump itu merupakan kali pertama Seksyen 338 digunakan untuk mengenakan tarif, kata Scott Lincicome dari Institut Cato yang berpandangan libertarian kepada AFP.
Menurut beliau, ramai pakar berpendapat undang-undang tersebut sudah digantikan oleh kuasa perundangan lain. Beliau turut berhujah bahawa Encik Trump "menunjukkan kesediaan untuk menggunakan dan menyalahgunakan mana-mana undang-undang yang tersedia".
Ryan Majerus, mantan pegawai perdagangan Amerika Syarikat, berkata kepada AFP bahawa undang-undang itu "berdepan risiko tinggi untuk dicabar di mahkamah" dan belum pernah diuji sebelum ini.
"Ini jelas bertujuan untuk mendapatkan kelebihan dalam rundingan dengan Kanada," kata Encik Majerus, yang kini merupakan rakan kongsi di firma guaman King & Spalding.
Beliau berkata rundingan berkaitan USMCA masih berlangsung, dan perbincangan Amerika Syarikat dengan Mexico berjalan jauh lebih pantas berbanding dengan Kanada.
"Ini mungkin satu usaha untuk mempercepatkan rundingan tersebut," katanya sambil merujuk kepada tempoh penangguhan 30 hari sebelum tarif itu dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, jika tarif itu benar-benar berkuat kuasa seperti diumumkan, Encik Majerus menjangkakan penarikan pengecualian ke atas import di bawah USMCA akan memberi kesan yang sangat negatif kepada rantaian bekalan dan perniagaan di Amerika Syarikat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.