Trump arahkan siasatan tarif baharu terhadap import tembaga Amerika
Dalam satu lagi serangannya terhadap norma perdagangan global, Presiden Donald Trump pada Selasa (25 Feb) mengarahkan siasatan terhadap kemungkinan tarif baharu ke atas import tembaga untuk membangunkan semula pengeluaran negara itu bagi logam yang penting buat kenderaan elektrik, peralatan ketenteraan, grid kuasa, dan pelbagai barangan pengguna.
Kontena penghantaran di pelabuhan Oakland, California, sedang ketegangan perdagangan kian meningkat akibat tarif Amerika. (Gambar: Reuters/Carlos Barria)
Presiden Trump, yang berusaha menghalang apa yang dilihat penasihatnya sebagai usaha China untuk mendominasi pasaran tembaga global, menandatangani arahan di Rumah Putih yang mengarahkan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick untuk memulakan siasatan keselamatan negara di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962. Ia merupakan undang-undang sama yang digunakan Encik Trump semasa penggal pertamanya untuk mengenakan tarif global sebanyak 25 peratus ke atas keluli dan aluminium.
Seorang pegawai Rumah Putih, yang memberi taklimat kepada wartawan dengan syarat identiti beliau tidak didedahkan, berkata kadar tarif yang mungkin dikenakan akan ditentukan melalui siasatan, sambil menambah bahawa Encik Trump lebih menyukai tarif berbanding kuota.
Langkah tersebut adalah yang terbaharu daripada Presiden Trump untuk menggugat sokongan perniagaan selama beberapa dekad kepada perdagangan bebas, yang beliau kritik sebagai penyebab kemerosotan dalam perindustrian Amerika. Ini satu perubahan drastik yang kini menyasarkan sekutu-sekutu lama Amerika seperti Kanada dan Mexico serta lawan geopolitik seperti China.
Presiden Trump sudah mengeluarkan beberapa arahan tarif sejak memulakan penggal kedua di Rumah Putih bulan lalu. Walaupun hanya satu levi baharu sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas semua import dari China yang sedang berkuat kuasa, tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Kanada dan Mexico dijangka berkuat kuasa minggu depan, dan tarif lain berkenaan keluli, aluminium dan kenderaan bermotor akan menyusul tidak lama lagi atau sedang dibangunkan dengan pantas.
Tindakan Encik Trump sudah mula memberi kesan terhadap keyakinan pengguna, yang pada mulanya melonjak selepas kemenangan beliau pada pilihan raya November lalu, kerana Encik Trump berjanji untuk menurunkan kos sara hidup. Awal pagi Selasa, Lembaga Persidangan melaporkan kemerosotan terbesar dari segi keyakinan pengguna dalam masa tiga setengah tahun, dengan isi rumah menjangkakan inflasi akan kembali meningkat.
Sebelum pengumuman berkenaan tembaga itu, saham-saham di Wall Street jatuh bagi hari keempat berturut-turut, penurunan yang dikaitkan dengan ketidakpastian yang semakin meningkat tentang dasar perdagangan Encik Trump.
Namun, terdapat beberapa bahagian yang mengalami kenaikan: Saham pengeluar tembaga terbesar dunia, Freeport-McMoran yang berpangkalan di Phoenix, melonjak 5 peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran. Syarikat itu, yang menghasilkan 1.26 bilion tembaga di Amerika tahun lalu, tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Antofagasta yang berpangkalan di London enggan memberi komen mengenai tindakan Presiden Trump. Syarikat tersebut sedang mencuba untuk membangunkan lombong tembaga dan nikel Twin Metals bernilai US$1.7 bilion (S$2.27 bilion) di Minnesota. Namun, hak mineralnya disekat di bawah pentadbiran mantan Presiden Biden atas kebimbangan pencemaran air.
Presiden Trump berjanji untuk melonggarkan peraturan terhadap perniagaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Amerika.
MENYASARKAN CHINA
Penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro, berkata siasatan itu akan diselesaikan dengan cepat, "mengikut masa Trump."
Encik Navarro mendakwa China menggunakan subsidi pemerintah dan kapasiti berlebihan untuk melemahkan persaingan serta menguasai pengeluaran tembaga global, sama seperti yang dilakukan dalam industri keluli dan aluminium.
Namun begitu, negara yang akan paling terkesan oleh tarif tembaga baharu Amerika ialah Chile, Kanada, dan Mexico. Negara-negara tersebut merupakan pembekal utama tembaga tulen, aloi tembaga, dan produk berkaitan tembaga pada tahun 2024, berdasarkan data Biro Banci Amerika Syarikat.
"Sama seperti industri keluli dan aluminium kita, industri tembaga Amerika yang hebat telah musnah akibat tindakan pemain global yang menyerang pengeluaran domestik kita," kata Encik Lutnick semasa sesi tandatangan di Rumah Putih, sambil berikrar untuk menamatkan amalan perdagangan tidak adil yang menyebabkan rakyat Amerika kehilangan pekerjaan.
"Industri Amerika bergantung kepada tembaga, dan ia harus dihasilkan di Amerika—tanpa pengecualian, tanpa kompromi," katanya. "Sudah tiba masanya tembaga kembali ke tanah air."
Lembaran fakta Rumah Putih menyatakan bahawa siasatan itu akan menilai risiko keselamatan negara akibat kebergantungan lebih tinggi Amerika kepada tembaga import "dalam semua bentuk". Ia memetik data yang menunjukkan Amerika bergantung kepada import bagi 45 peratus daripada penggunaan tembaganya tahun lalu, satu peningkatan yang ketara berbanding awal 1990-an.
Pegawai Rumah Putih berkata, siasatan tersebut yang turut melibatkan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR), akan meneliti import tembaga mentah yang dilombong, pekatan tembaga, aloi tembaga, tembaga sekerap, serta produk derivatif yang diperbuat daripada logam tersebut. Pegawai itu enggan mengenal pasti mana-mana derivatif tertentu, dengan alasan ia boleh menjejas hasil siasatan.
Menurut pegawai tersebut, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat mengiktiraf tembaga sebagai bahan kritikal dalam jangka sederhana akibat peningkatan permintaan terhadap teknologi tenaga suria dan elektrifikasi global. Beliau turut menekankan bahawa tembaga merupakan bahan kedua paling banyak digunakan dalam platform senjata Amerika.
LEBIH BANYAK KAPASITI DIPERLUKAN
Pegawai itu turut berkata bahawa berdasarkan permintaan semasa untuk kenderaan elektrik dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan banyak tenaga, Amerika akan menghadapi kekurangan tembaga pada masa hadapan. Beliau menegaskan bahawa negara itu tidak dapat membangunkan kapasiti peleburan dan penapisan tembaga yang mencukupi melainkan terdapat jaminan perlindungan perdagangan jangka panjang yang munasabah bagi sektor tersebut.
Semasa sesi tandatangan pada Selasa, Encik Lutnick turut mengatakan bahawa pentadbiran Trump akan memastikan negara-negara bertanggungjawab atas pengenaan cukai perkhidmatan digital terhadap syarikat teknologi Amerika, termasuk Google, Apple dan Amazon. Encik Trump pada Jumaat mengarahkan USTR untuk menghidupkan semula siasatan tarif berkaitan cukai tersebut.
"Baik kawan mahupun lawan telah memperlakukan syarikat teknologi Amerika seolah-olah syarikat kita adalah tabung wang mereka," kata Encik Lutnick. "Ini akan berakhir sekarang. Matlamat saya adalah untuk mewujudkan persaingan yang adil dan menghentikan serangan tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.