Trump ancam tarif 100% terhadap BRICS jika tidak guna dolar Amerika
Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara BRICS jika mereka mencuba berhenti menggunakan dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa.

Donald Trump pada 6 Nov 2024 di Florida. (Gambar: AP/Alex Brandon)
Amaran terhadap BRICS - yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan - merupakan langkah terbaharu dan sebahagian daripada strategi Encik Trump menggunakan cukai untuk mencapai matlamat dasarnya.
Dalam catatan di rangkaian Truth Social miliknya, Encik Trump menuntut komitmen dari negara-negara BRICS agar mereka tidak akan mewujudkan mata wang baharu sebagai alternatif kepada dolar Amerika.
Beliau memberi amaran Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri melihat negara-negara lain mencuba menggantikan mata wang dolar Amerika.
Sepanjang berkempen dalam pilihan raya, Encik Trump berkali-kali berjanji akan menghambat sebarang usaha yang mahu melemahkan penggunaan dolar Amerika dalam sistem kewangan global.
Ini mahu dilakukan dengan menambah beban kewangan ke atas pihak yang berbuat demikian.
Dolar Amerika, dakwa Encik Trump, "di bawah tekanan hebat" sepanjang lapan tahun lalu di mana persaingan global melemahkan prestasinya.
Dolar Amerika adalah mata wang paling sering digunakan dalam perdagangan global.
Namun negara-negara BRICS di satu sidang puncak telah membincangkan langkah mencabar status dolar Amerika sebagai mata wang rizab dunia.
BRICS juga sengaja mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa kebelakangan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.