Skip to main content

Dunia

Trump ancam saman BBC AS$1 bilion atas suntingan ucapannya

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam BBC dengan saman bernilai AS$1 bilion atas penyuntingan ucapannya yang dianggap berunsur "fitnah dan berniat jahat", dengan ucapan itu disampaikan sebelum berlaku rusuhan di Bangunan Capitol pada 2021, menurut surat yang diperoleh AFP.
Anggaran Waktu Membaca:
Trump ancam saman BBC AS$1 bilion atas suntingan ucapannya
Presiden Donald Trump di Rumah Putih, pada 7 November 2025. (Gambar: AP/Evan Vucci)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam BBC dengan saman bernilai AS$1 bilion atas penyuntingan ucapannya yang dianggap berunsur "fitnah dan berniat jahat", dengan ucapan itu disampaikan sebelum berlaku rusuhan di Bangunan Capitol pada 2021, menurut surat yang diperoleh AFP.

Peguam Encik Trump memberi tarikh akhir kepada penyiar British itu pada Jumaat (14 Nov) untuk menarik balik sepenuhnya dokumentari yang mengandungi suntingan itu, memohon maaf dan "memberi pampasan yang sewajarnya" kepada Encik Trump "atas kemudaratan yang disebabkan oleh suntingan itu."

Jika BBC gagal mematuhinya, "Presiden Trump tidak akan mempunyai pilihan lain kecuali menguatkuasakan hak-haknya yang sah dan saksama... termasuk dengan memfailkan tindakan undang-undang untuk ganti rugi tidak kurang daripada AS$1,000,000,000 (Satu Bilion Dolar)," katanya.

"BBC sedang diberi notis. SILA TADBIR DIRI ANDA DENGAN SEWAJARNYA."

Pada awal Isnin (10 Nov), BBC memohon maaf kerana menyunting ucapan yang memberi gambaran seolah-olah Presiden Donald Trump membuat "seruan langsung untuk tindakan ganas" sejurus sebelum berlaku rusuhan di Bangunan Capitol pada 2021, menyifatkannya sebagai satu "kesilapan penghakiman".

Kekecohan yang semakin meningkat mengenai isu itu mendorong peletakan jawatan secara mengejut oleh dua orang pegawai tinggi penyiar pada Ahad (9 Nov) - serta teguran - daripada Rumah Putih.

Ia juga telah membuka semula perdebatan di Britain mengenai BBC, yang dihargai oleh ramai tetapi telah menghadapi tuduhan berat sebelah yang telah lama berlarutan, kerap daripada mereka yang berhaluan kanan politik dan, baru-baru ini, daripada mereka yang berhaluan kiri juga.

Dalam sepucuk surat kepada para Ahli Parlimen pada Isnin (10 Nov), Pengerusi BBC Samir Shah berkata ia menerima bahawa cara ucapan Encik Trump disunting dalam dokumentari utama "memberi gambaran seruan langsung untuk tindakan ganas".

"BBC ingin memohon maaf atas kesilapan itu," tambahnya, sambil berikrar untuk mempertingkatkan tahap pengawasan di penyiar yang dibiayai oleh kerajaan Britain itu, antara lain.

Ia berlaku beberapa jam selepas Ketua Pengarah Tim Davie dan Ketua Pegawai Eksekutif BBC News, Deborah Turness, meletak jawatan di tengah-tengah tindak balas yang semakin meningkat mengenai isu tersebut.

Encik Trump mengalu-alukannya, sambil menuduh wartawan BBC sebagai "korup" dan "tidak jujur".

Setiausaha medianya menyifatkan penyiar itu sebagai "berita palsu 100 peratus".

Tetapi jurucakap Perdana Menteri Britain Keir Starmer menolak dakwaan tersebut pada Isnin (10 Nov).

"BBC mempunyai peranan penting dalam era maklumat salah," katanya, walaupun beliau menekankan: "Adalah penting untuk BBC bertindak pantas bagi mengekalkan kepercayaan dan memperbetulkan kesilapan dengan pantas apabila ia berlaku."
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita