Skip to main content

Dunia

Trump ancam operasi ketenteraan terhadap Colombia susuli serbuan di Venezuela

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad (4 Jan) mengancam tindakan ketenteraan ke atas pemerintah Colombia, sambil memberitahu para wartawan bahawa operasi sedemikian “kedengaran baik bagi saya”.
Anggaran Waktu Membaca:
Trump ancam operasi ketenteraan terhadap Colombia susuli serbuan di Venezuela
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menaiki pesawat Air Force One pada 4 Januari 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach di West Palm Beach, Florida. (Gambar: AFP/Getty Images/Joe Raedle)
AMERIKA SYARIKAT: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad (4 Jan) mengancam tindakan ketenteraan ke atas pemerintah Colombia, sambil memberitahu para wartawan bahawa operasi sedemikian “kedengaran baik bagi saya”.

“Colombia juga sangat teruk, ditadbir oleh seorang yang teruk, yang gemar menghasilkan kokain dan menjualnya ke Amerika Syarikat, dan dia tidak akan melakukannya untuk tempoh yang lama,” kata Encik Trump kepada para wartawan di atas Air Force One, dalam satu rujukan yang jelas terhadap Presiden Colombia Gustavo Petro.

Apabila ditanya secara langsung sama ada Amerika Syarikat akan melancarkan operasi ketenteraan terhadap negara itu, Encik Trump menjawab: “Ia kedengaran baik bagi saya.”

Kenyataan itu dibuat selepas Amerika Syarikat menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam satu serbuan berani sebelum membawanya ke New York untuk berdepan pertuduhan berkaitan pengedaran dadah.

Encik Trump sebelum ini berkata Amerika Syarikat akan mengambil alih Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat Amerika Syarikat untuk membaiki infrastruktur minyak negara itu yang berada dalam keadaan uzur yang teruk.

Pemerintah sementara Venezuela - yang dipimpin oleh pemangku presiden Delcy Rodriguez - pada Ahad mengisytiharkan bahawa pemerintah negara itu akan kekal bersatu dalam menyokong Encik Maduro.

Cik Rodriguez, yang mengambil alih kepimpinan sementara dengan restu mahkamah tertinggi Venezuela, turut berkata Encik Maduro kekal sebagai presiden dan secara terbuka menafikan dakwaan Encik Trump bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat.

Encik Trump memberitahu The Atlantic dalam satu temu bual melalui telefon bahawa Cik Rodriguez akan “menanggung akibat yang sangat buruk, mungkin lebih buruk daripada Maduro” jika beliau tidak melakukan “perkara yang betul”.

Ia masih tidak jelas bagaimana Encik Trump merancang untuk mentadbir Venezuela, dan beliau berdepan risiko mengasingkan sebahagian daripada penyokongnya yang menentang campur tangan asing.

Walaupun penahanan Encik Maduro mengejutkan ramai pihak, sumber yang mengetahui tentang perkara itu menyatakan perancangan bagi operasi berkenaan sudah dijalankan selama beberapa bulan dan turut merangkumi latihan-latihan yang terperinci.

Pasukan elit Amerika Syarikat, termasuk Delta Force Tentera Darat, membina replika tepat bagi rumah perlindungan Encik Maduro dan menjalankan latihan untuk memasuki kediaman yang berkubu kuat itu.

Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) juga mempunyai satu pasukan kecil di lapangan sejak Ogos yang dapat memberikan maklumat mengenai corak kehidupan Encik Maduro, sekali gus memudahkan penahanannya, menurut seorang sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Dua sumber lain memberitahu Reuters bahawa agensi perisikan itu juga mempunyai aset yang rapat dengan Encik Maduro untuk memantau pergerakannya dan bersedia untuk mengenal pasti lokasi tepatnya semasa operasi berlangsung.

Kebenaran terakhir bagi operasi tersebut diberikan oleh Encik Trump pada pukul 10.46 malam waktu EST pada Jumaat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita