Skip to main content

Dunia

Trump ancam lucutkan senjata Hamas, gesa serah mayat tebusan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (14 Okt) menggesa Hamas supaya menyerahkan baki mayat tebusan yang ditahan di Gaza, dengan mengatakan sudah tiba masanya untuk memulakan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump ancam lucutkan senjata Hamas, gesa serah mayat tebusan

Presiden Donald Trump memegang dokumen yang ditandatangani semasa sidang puncak bagi menyokong penamatan peperangan lebih dua tahun antara Israel dan Hamas di Gaza, susulan kejayaan perjanjian gencatan senjata, pada Isnin, 13 Oktober 2025, di Sharm El Sheikh, Mesir. (Gambar: AP/Suzanne Plunkett/Pool)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 15 Oct 2025 07:11AM Dikemas Kini : 15 Oct 2025 07:27AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (14 Okt) menggesa Hamas supaya menyerahkan baki mayat tebusan yang ditahan di Gaza, dengan mengatakan sudah tiba masanya untuk memulakan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata.

"KESEMUA DUA PULUH TEBUSAN SUDAH DISERAHKAN. Beban besar sudah diringankan, tetapi tugas itu BELUM SELESAI," tulis Encik Trump di platform Truth Social.

"TEBUSAN YANG MATI BELUM DIKEMBALIKAN, SEPERTI YANG DIJANJIKAN! Fasa Kedua bermula SEKARANG!!!" tambahnya.

KETIDAKTENTUTAN BERHUBUNG PERJANJIAN GENCATAN SENJATA

Kenyataan Encik Trump dibuat hanya beberapa jam selepas pulang dari lawatan singkat ke Israel dan Mesir, di mana beliau memuji "hari luar biasa yang bersejarah bagi Timur Tengah" dan menandatangani perisytiharan dengan para pemimpin serantau untuk mengukuhkan gencatan senjata Gaza.

Di bawah perjanjian itu, Hamas membebaskan 20 tebusan yang masih hidup yang ditahan semasa serangan pada 7 Okt 2023 ke atas Israel, sejurus sebelum ketibaan Encik Trump di Baitulmakdis.

Bagaimanapun, Hamas setakat ini hanya memulangkan empat mayat, manakala 24 lagi masih di Gaza, yang dijangka akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada fasa kedua perjanjian gencatan senjata.

Sebuah hospital di Gaza menyatakan bahawa ia telah menerima 45 jasad tahanan Palestin yang diserahkan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian yang sama untuk menamatkan perang selama dua tahun itu.

TRUMP BERI AMARAN KEPADA HAMAS UNTUK LUCUTKAN SENJATA

Pada Selasa (14 Okt), Encik Trump berkata Hamas mesti melucutkan senjata atau menghadapi tindakan untuk melucutkan senjata secara paksa.

"Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan senjata mereka. Dan ia akan berlaku dengan pantas dan mungkin secara ganas," kata Encik Trump semasa mengadakan pertemuan di Rumah Putih dengan Presiden Argentina Javier Milei.

Amaran itu dikeluarkan sedang Encik Trump berusaha untuk terus menekan Hamas supaya mematuhi sepenuhnya syarat gencatan senjata, sambil menekankan bahawa kesabaran Washington adalah terhad jika kumpulan itu gagal menyerahkan tebusan dan senjata yang masih ada di tangan Hamas.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita