Trump 'amat kecewa' China jual minyak kepada Korea Utara
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam (28 Dis) berkata beliau "amat kecewa bahawa China membenarkan minyak mentah disalurkan ke Korea Utara" dan tindakan itu akan menghalang "huraian dengan cara yang baik" ke atas krisis program nuklear Pyongyang.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar: REUTERS/Joshua Roberts)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam (28 Dis) berkata beliau "amat kecewa bahawa China membenarkan minyak mentah disalurkan ke Korea Utara" dan tindakan itu akan menghalang "huraian dengan cara yang baik" ke atas krisis program nuklear Pyongyang.
"DITANGKAP BASAH - amat kecewa China membenarkan minyak mentah disalurkan ke Korea Utara. Tiada huraian yang baik mengenai isu Korea Utara jika ini berterusan!" menurut Encik Trump dalam sebuah Tweet.
Semalam, China menyatakan bagawa tiada sekatan PBB terhadap penjualan minyak mentah oleh kapal-kapal China kepada Korea Utara ekoran penerbitan akhbar Korea Selatan yang melaporkan bahawa tangki minyak China dan Korea Utara berpautan di laut untuk menyalurkan minyak ke Korea Utara.
Pentadbiran Encik Trump menerajui sekatan antarabangsa terhadap Korea Utara sebagai respons kepada usaha Pyongyang yang cuba membina peluru berpandu nuklear yang mampu sampai ke Amerika Syarikat.
Washington menyatakan bahawa kerjasama sepenuhnya dengan China, jiran Korea Utara dan rakan dagang utama, amat penting dalam menjayakan usaha ini, sambil mengeluarkan amaran bahawa semua pilihan sedang dipertimbangan - termasuk tindakan ketenteraan - dalam menangani Korea Utara.
Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara mengundi bagi sekatan baru terhadap Korea Utara, menyusuli ujian peluru berpandu antara benua terbarunya, dalam mengehadkan akses produk petroleum dan minyak mentah.
Ketetapan PBB ini bermatlamat untuk menyekat sekitar 90 peratus eksport produk-produk petroleum yang sudah ditapis ke Korea Utara dengan mengehadkannya kepada 500,000 tong setahun.
Ketetapan yang didrafkan oleh Amerika Syarikat turut menyekat bekalan minyak mentah ke Korea Utara kepada hanya 4 juta tong setahun dengan Majlis tersebut berkomited untuk menyekat lagi jumlah tersebut jika Korea Utara lakukan ujian nuklear atau melancarkan lagi peluru berpandu antara benua (ICBM).
Dokumen kepada laman berita Reuters bulan ini mendedahkan Washington meminta Majlis Keselamatan untuk memasukkan 10 kapal tangki dalam senarai hitam kerana mengelak sekatan dengan melakukan memindahkan produk petroleum dari tangki ke tangki ke Korea Utara atau memindahkan batu arang dari Korea Utara.
China dan Rusia meminta masa yang lebih untuk mempertimbangkannya.
Pada September lalu, Majlis Keselamatan meletakkan had sebanyak 2 juta tong setahun ke atas produk-produk eksport petroleum ke Korea Utara.
China berulang kali menegaskan bahawa negara itu menguatkuasa semua ketetapan terhadap Korea Utara, meski disangsikan Washington, Seoul dan Tokyo kerana terdapat lagi jalan keluar.
Ditanya sama ada kapal-kapal China membekalkan minyak mentah kepada Korea Utara, jurucakap Kementerian Pertahanan China Ren Guoqiang menegaskan bahawa China, termasuk tenteranya, mematuhi sekatan yang ditetapkan PBB.
"Situasi yang anda katakan tidak berlaku," kata beliau.
Akhbar Korea Selatan Chosun Ilbun melaporkan awal bulan ini yang menukil sumber-sumber pemerintah Korea Selatan bahawa satelit risikan mengesan 30 insiden penyaluran minyak menggunakan kapal kepada tangki Korea Utara sejak Oktober lalu.
Seorang pegawai daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat mengatakan pada Rabu lalu (27 Dis) bahawa kegiatan tersebut mungkin masih lagi dilakukan.
"Penyaluran antara kapal ... kekal kebimbangan kami sebagai kegiatan Korea Utara yang mengelak penyekatan," kata pegawai tersebut yang tidak memberikan sebarang perincian lanjut.
Michael Cavey, seorang jurucakap Jabatan Negara, menegaskan pada Rabu lalu juga bahawa Amerika Syarikat menggesa semua negara untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan Korea Utara.
"Kami menggesa China untuk memutuskan semua hubungan ekonomi dengan DPRK, termasuk pelancongan, dan penjualan produk petroleum, dan melepaskan semua pekerja DPRK," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.