Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump akan teruskan usaha 'pelucutan senjata nuklear' menyeluruh Korea Utara: Rumah Putih

Anggaran Waktu Membaca:
Trump akan teruskan usaha 'pelucutan senjata nuklear' menyeluruh Korea Utara: Rumah Putih

(Gambar: Kent Nishimura / AFP)

Diterbitkan : 29 Jan 2025 05:47PM Dikemas Kini : 29 Jan 2025 05:52PM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan meneruskan usaha ke arah "'pelucutan senjata nuklear' di seluruh Korea Utara”, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik pegawai Rumah Putih pada Selasa (28 Jan).

Ini di tengah-tengah persoalan sama ada tindakan Encik Trump baru-baru ini dengan merujuk negara itu sebagai "kuasa nuklear", menandakan sebarang perubahan dasar.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Brian Hughes membuat kenyataan itu sejurus selepas Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) melaporkan bahawa pemimpin negara itu, Encik Kim Jong-un telah melawat pangkalan pengeluaran bahan nuklear dan institut senjata nuklear, yang dilihat sebagai usaha menonjolkan keupayaan ketenteraan Pyongyang.

"Presiden Trump akan meneruskan “pelucutan senjata nuklear” menyeluruh Korea Utara, seperti yang dilakukannya dalam penggal pertamanya," kata Encik Hughes sebagai menjawab soalan daripada Agensi Berita Yonhap.

"Presiden Trump mempunyai hubungan baik dengan Kim Jong-un, dan gabungan pendekatan tegas serta diplomasi beliau telah membawa kepada komitmen peringkat pemimpin yang pertama mengenai 'pelucutan senjata nuklear' menyeluruh," tambah pegawai itu.

Encik Hughes dipercayai merujuk kepada perjanjian antara Encik Trump dan Encik Kim semasa sidang puncak pertama mereka di Singapura pada 2018.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama ke arah "pelucutan senjata nuklear menyeluruh" di Semenanjung Korea serta menetapkan hubungan dua hala yang baharu.

Awal dari itu, seorang pegawai pentadbiran Amerika berkata masih belum ada perubahan dalam dasar Amerika terhadap Korea Utara.

Minggu lalu, Encik Trump merujuk Korea Utara sebagai "kuasa nuklear", istilah yang tidak digunakan kebanyakan pegawai Amerika sebelum ini kerana boleh dianggap sebagai pengiktirafan Amerika terhadap senjata nuklear Pyongyang.

Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth turut menggunakan istilah itu semasa sesi pengesahan pelantikannya awal bulan ini.

Dalam langkah yang dilihat sebagai usaha meningkatkan pengaruh menjelang rundingan berpotensi dengan Amerika, KCNA melaporkan bahawa Encik Kim melawat tapak yang berkaitan dengan program nuklear negara itu, dengan pemimpin berkenaan menyeru supaya "melebihkan sasaran rancangan pengeluaran bahan nuklear gred senjata dan memperkukuh perisai nuklear negara."

Semasa wawancara terbaharu dengan Fox News, Encik Trump berkata beliau bersedia untuk menghubungi Encik Kim sekali lagi, menggambarkan pemimpin Korea Utara itu sebagai "seorang yang bijak" dan "bukan fanatik agama", petunjuk bahawa beliau masih melihat Encik Kim sebagai seseorang yang boleh diajak berunding.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan