Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump akan laksana tarif ke atas Kanada, Mexico, China pada Sabtu: Rumah Putih

Anggaran Waktu Membaca:
Trump akan laksana tarif ke atas Kanada, Mexico, China pada Sabtu: Rumah Putih

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Jim WATSON / AFP)

Diterbitkan : 01 Feb 2025 07:20AM Dikemas Kini : 01 Feb 2025 07:33AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (1 Feb) akan melaksanakan tarif 25 peratus ke atas import Kanada dan Mexico serta 10 peratus ke atas barangan dari China dengan serta-merta.

Demikian menurut jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, pada Jumaat.

"Presiden akan melaksanakan tarif 25 peratus esok ke atas Mexico, tarif 25 peratus ke atas Kanada, dan tarif 10 peratus ke atas China bagi fentanil haram yang telah mereka dapatkan dan dibenarkan untuk edar ke dalam negara kami, yang telah meragut nyawa puluhan juta warga Amerika," kata Cik Leavitt di taklimat media Rumah Putih.

Reuters sebelum ini menukil sumber yang mengetahui mengenai tarif itu sebagai berkata bahawa Encik Trump akan mengumumkan tarif berkenaan ke atas import Kanada dan Mexico pada Sabtu tetapi akan melengahkan pengumpulan cukai sehingga 1 Mac dan menawarkan proses terhad bagi import tertentu untuk dikecualikan.

Cik Leavitt menyifatkan laporan itu sebagai "palsu", namun semasa ditanya mengenai pengecualian, beliau berkata beliau tidak mempunyai "kemas kini bagi anda berhubung pengecualian itu."

Beliau menambah bahawa cukai itu akan diterbitkan pada Sabtu dan akan dikuat kuasa dengan serta-merta.

Komen Cik Leavitt mengukuhkan lagi dolar Amerika, khususnya berbanding peso Mexico dan dolar Kanada.

Hasil bon Perbendaharaan juga meningkat, manakala saham bertukar arah untuk bergerak lebih rendah pada hari itu.

Apabila Encik Trump mengenakan cukai punitif pada 2018 dan 2019, ada kelengahan dua hingga tiga minggu bagi Kastam dan Perlindungan Sempadan untuk mula mengumpul tarif, disebabkan notis yang diperlukan bagi pengimport.

Beberapa sumber, yang meminta agar tidak didedahkan nama mereka kerana tidak diberi keizinan untuk memberi kenyataan mengenai isu itu, memberitahu Reuters bahawa mereka tidak mempunyai butiran mengenai kadar muktamad tarif itu, namun menarik perhatian baahwa Encik Trump secara konsisten berkata bahawa beliau merancang untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan import dari kedua-dua negara itu pada Sabtu.

Secara berasingan, seorang pegawai pentadbiran berkata Encik Trump pada Jumaat sedang menyemak semula pelan tarif, yang mungkin membolehkan beberapa pengecualian.

Meskipun pengumuman mengenai tarif mungkin akan menggoncang pasaran kewangan dan menyebabkan hubungan Amerika dengan dua rakan dagangnya itu menjadi tegang, menawarkan tempoh 28 hari sebelum tarikh pelaksanaan dan kemungkinan pengecualian mencadangkan pendekatan lebih berhati-hati oleh pentadbiran Encik Trump.

Ia juga akan memberi lebih banyak ruang masa bagi rundingan berhubung tindakan oleh Kanada dan Mexico untuk memenuhi matlamat Encik Trump, iaitu bagi cukai itu untuk memberi tekanan kepada kedua-dua negara itu dalam menghentikan aliran pendatang haram dan opioid fentanil yang membawa maut merentasi sempadan Amerika.
Sumber : Reuters/IM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan