Trump akan ke Timur Tengah pada Ahad selepas Israel, Hamas setuju bebaskan tebusan
Presiden Amerika Donald Trump di Rumah Putih di Washington,DC, Amerika Syarikat pada 9 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Nathan Howard)
This audio is generated by an AI tool.
Israel dan kumpulan Hamas menandatangani persetujuan pada Khamis untuk menghentikan tembakan dan membebaskan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin, dalam fasa pertama inisiatif Encik Trump untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza yang sudah menggugat kestabilan Timur Tengah.
Encik Trump berkata beliau akan menuju ke rantau itu, mungkin untuk menghadiri majlis menandatangani di Mesir, dan Speaker Knesset Israel Amir Ohana mengundang beliau untuk berucap di badan perundangan tersebut, yang akan menjadi ucapan pertama sedemikian oleh seorang presiden Amerika Syarikat sejak 2008. Encik Trump berkata beliau berharap perjanjian itu akan membawa kepada "keamanan yang berkekalan" di rantau itu.
Dua utusan khas Encik Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan presiden dan perdana menteri Israel di Baitulmakdis pada Khamis, menurut pejabat pemimpin Israel.
Semasa pertemuan mereka dengan Isaac Herzog, presiden Israel itu "membincangkan dengan utusan tersebut rangka persetujuan yang mereka pimpin dan merundingkan untuk menjamin kepulangan tebusan dan untuk menamatkan perang dengan Hamas," menurut pejabat presiden dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mereka kemudian bertemu dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, tambah pejabatnya.
Media Israel melaporkan bahawa kedua-dua utusan Amerika Syarikat itu kemudian mengambil bahagian dalam mesyuarat pemerintah yang diadakan untuk meluluskan rancangan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.