Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump akan campur tangan tangkap eksekutif China

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata hari ini (12 Dis) bahawa beliau akan campur tangan dalam Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung kes terhadap seorang eksekutif syarikat telko China jika ia dapat membantu mencapai persetujuan perdagangan dengan Beijing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Dec 2018 09:52AM Dikemas Kini : 12 Dec 2018 10:38PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata hari ini (12 Dis) bahawa beliau akan campur tangan dalam Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung kes terhadap seorang eksekutif syarikat telko China jika ia dapat membantu mencapai persetujuan perdagangan dengan Beijing.

"Saya rasa ia baik bagi negara ini dan jika saya rasa ia mungkin menjadi perjanjian perdagangan terbesar yang pernah dipersetujui - iaitu sesuatu yang sangat penting dan baik bagi keselamatan negara - saya tentunya akan campur tangan jika saya rasa saya perlu berbuat demikian," kata Encik Trump semasa wawancara bersama agensi berita Reuters di Pejabat Bundar.

Meng Wanzhou, seorang eksekutif Huawei Technologies Co., diberkas pada awal bulan ini di Vancouver atas tuduhan melanggar sekatan-sekatan Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Iran.

Penangkapan itu dibuat atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat. Ia dibuat pada hari yang sama Encik Trump dan Presiden China Xi Jinping mengisytiharkan perjanjian selama 90 hari dalam perang dagang antara kedua-dua negara itu, menyusuli rundingan-rundingan yang diadakan semasa sidang puncak di Buenos Aires.

Encik Trump, yang ingin China membuka pasarannya kepada lebih banyak produk yang diperbuat di Amerika dan mahu menghentikan apa yang disifatkan oleh Washington sebagai pencurian hak intelektual, berkata beliau belum lagi berbincang dengan Encik Xi berhubung kes terhadap Cik Meng.

Cik Meng, 46 tahun, dituduh memperdaya bank-bank berbilang negara mengenai kawalan Huawei ke atas sebuah syarikat yang beroperasi di Iran, menyebabkan bank-bank berisiko melanggar sekatan-sekatan Amerika dan dikenakan denda berat, menurut dokumen-dokumen mahkamah.

Jika Cik Meng diekstradisi ke Amerika, beliau akan berdepan dengan tuduhan bersubahat untuk menipu pelbagai institusi kewangan. Sebuah mahkamah di Kanada semalam (11 Dis) meluluskan ikat jamin sementara beliau menunggu perbicaraan ekstradisi.

Menyusuli mesyuarat Encik Trump dengan Encik Xi di Buenos Aires, Encik Trump berkata rundingan-rundingan perdagangan dengan Beijing sedang berlangsung menerusi perbualan telefon, dengan lebih banyak mesyuarat bersama para pegawai Amerika Syarikat dan China mungkin diadakan.  

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan