Trump akan bertemu Ahmed al-Sharaa dalam lawatan sulung Presiden Syria ke Rumah Putih
Presiden Donald Trump tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach pada Jumaat, 11 April 2025, di West Palm Beach, Florida. (Gambar: AP/Manuel Balce Ceneta)
Ahmed al-Sharaa dijangka melakukan lawatan ke ibu negara Amerika Syarikat itu pada awal November, menurut diplomat kanan Syria, Asaad al-Shaibani, kepada panel di Dialog Manama di Bahrain.
"Lawatan ini sememangnya bersejarah," katanya lagi.
"Banyak topik akan dibincangkan, bermula dengan menarik balik sekatan," kata Encik Shaibani, sambil menambah: "Hari ini kita sedang memerangi (ISIS)... sebarang usaha dalam hal ini memerlukan sokongan antarabangsa."
Perbincangan juga akan berkisar tentang pembinaan semula Syria selepas lebih sedekad bererang, kata Encik Shaibani.
Kementerian Luar Negara di Damsyik mengesahkan lawatan itu, yang merupakan lawatan pertama ke Rumah Putih oleh seorang presiden Syria.
Pada Sabtu (1 Nov), Utusan Amerika Syarikat ke Syria, Tom Barrack berkata Encik Sharaa "dijangka" akan menuju ke Washington untuk menandatangani perjanjian bagi menyertai perikatan antarabangsa yang diterajui oleh Amerika Syarikat untuk menentang ISIS.
Walaupun ia merupakan lawatan pertama Encik Sharaa ke Washington, ia merupakan lawatan keduanya ke Amerika Syarikat, selepas lawatan penting ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, di mana mantan ketua kumpulan pemberontak itu menjadi presiden Syria pertama sejak beberapa dekad yang lalu untuk berucap di Perhimpunan Agung PBB di New York.
Pada Mei lalu, pemimpin sementara itu, yang kumpulannya menggulingkan pemerintah pimpinan Bashar al-Assad lewat tahun lalu, bertemu Encik Trump buat kali pertama di Riyadh semasa lawatan bersejarah Encik Trump yang membawa kepada pemimpin Amerika Syarikat itu berikrar untuk menarik balik sekatan ekonomi ke atas Syria.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.