Skip to main content

Dunia

Trend pendaratan penyu belimbing, penyu lipas di Malaysia membimbangkan

Trend pendaratan penyu belimbing dan penyu lipas di Malaysia dilihat semakin membimbangkan kerana ia semakin terancam disebabkan faktor ancaman semula jadi serta manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Trend pendaratan penyu belimbing, penyu lipas di Malaysia membimbangkan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Oct 2020 09:19AM Dikemas Kini : 02 Oct 2020 09:25AM

ALOR GAJAH: Trend pendaratan penyu belimbing dan penyu lipas di Malaysia dilihat semakin membimbangkan kerana ia semakin terancam disebabkan faktor ancaman semula jadi serta manusia.

Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang Sharum Yusof berkata kali terakhir sarang penyu belimbing ditemukan ialah pada 2017 dan apa yang lebih membimbangkan, kedua-dua sarang tidak menetaskan telur.

“Ia menjadi cabaran kepada Jabatan Perikanan bagi melihat kembali bilangan populasi penyu jantan di perairan negara ini berikutan kebanyakan penyu betina hanya mendarat dan bertelur namun sekiranya tidak mengawan, telur penyu tersebut tidak akan menetas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada program penghargaan kepada jabatan kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kemunting, Pengkalan Balak yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon pada Khamis malam (1 Okt).

Beliau berkata bagaimanapun bagi penyu karah, Melaka mencatat jumlah pendaratan tertinggi di Malaysia bagi spesies tersebut iaitu 548 dengan 19 lokasi dikenal pasti pada tahun lepas.

Terdahulu, turut dilepaskan pada program itu ialah 500 ekor anak penyu dan penyu karah dewasa yang dilengkapi peranti Platform Transmitter Terminal (PTT) sumbangan syarikat Sun Power Malaysia Manufacturing Sdn Bhd.

Pemasangan alat peranti itu bertujuan mendapatkan data laluan pergerakan dan migrasi penyu karah di laluan Selat Melaka selain mengetahui pemakanan dan habitat penyu berkenaan.

Dalam pada itu, Encik Sharum berharap lebih banyak syarikat swasta dan NGO terlibat serta bekerjasama dalam kegiatan pemuliharaan dan pemuliharaan penyu bagi menjamin kelestarian populasi haiwan tersebut di negara ini.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita