Trend nama bayi di tengah COVID-19: Corona, Covid, Lockdown
Mula-mula Corona Kumar kemudian, Covid Marie. Itulah nama yang diberikan ibu bapa kepada cahaya mata mereka sempena virus korona yang melanda dunia sekarang, seakan-akan tidak kisah jika masa depan anak-anak mereka dikaitkan selama-lamanya dengan pandemik maut tersebut.
(Gambar fail: AFP)
MANILA: Mula-mula Corona Kumar kemudian, Covid Marie. Itulah nama yang diberikan ibu bapa kepada cahaya mata mereka sempena virus korona yang melanda dunia sekarang, seakan-akan tidak kisah jika masa depan anak-anak mereka dikaitkan selama-lamanya dengan pandemik maut tersebut.
Apabila Cik Colline Tabes melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat di bandar tengah Filipina, Bacolod, pada 13 April lalu, beliau dan suaminya, John Tupas, memutuskan untuk menandakan peristiwa istimewa itu dengan menunjukkan kesyukuran.
"COVID-19 menyebabkan kesengsaraan yang amat perit di seluruh dunia," kata Encik Tupas, 23 tahun, ketika meluahkan kelegaan selepas kelahiran bayinya.
"Saya mahu namanya mengingatkan kita bahawa COVID bukan sahaja membawa kesengsaraan tetapi juga ada hikmahnya," tambah beliau.
Beberapa minggu sebelum itu, dua ibu di tenggara India mempunyai buah fikiran serupa, didorong doktor yang melahirkan anak mereka.
Sepasang anak kembar dinamakan Corona Kumar dan Corona Kumari.
"Saya memberitahu mereka ini akan mewujudkan kesedaran tentang penyakit itu dan menghakiskan stigma mengenainya," kata doktor berkenaan, Dr S.F. Basha.
"Saya terkejut apabila mereka bersetuju."
Sepasang suami isteri di timur laut India pula, yang terperangkap ribuan kilometer dari kediaman mereka di gurun Rajasthan, memutuskan untuk menamakan anak mereka Lockdown (Perintah Berkurung).
"Kami menamakannya Lockdown kerana mengenangkan semua masalah yang terpaksa kami tempuhi selama tempoh sukar ini," kata Sanjay Bauri, ayah bayi tersebut seperti dinukil media tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.