Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tragedi Stadium Kanjuruhan: Penggunaan gas pemedih mata cetus rempuhan

Anggaran Waktu Membaca:
Tragedi Stadium Kanjuruhan: Penggunaan gas pemedih mata cetus rempuhan

(Gambar: STR/AFP)

Diterbitkan : 03 Nov 2022 07:48AM Dikemas Kini : 03 Nov 2022 08:06AM

JAKARTA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Indonesia (Komnas HAM) mengeluarkan laporan siasatan terbarunya mengenai salah satu bencana stadium sukan terburuk di dunia yang berlaku pada 1 Oktober lalu.

Ia mengesahkan bahawa penggunaan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di stadium Kanjuruhan di Jawa Timur mencetuskan rempuhan yang meragut nyawa 135 orang.

"Gas pemedih mata boleh membawa maut sekiranya digunakan di tempat-tempat tertentu dan di bawah keadaan tertentu, seperti melepaskan gas pemedih mata di Stadium Kanjuruhan, yang berlangsung di ruang yang tertutup dan penuh sesak dengan penonton perlawanan bola sepak," ujar seorang anggota Komnas HAM, Choirul Anam, di sidang media mengenai hasil siasatan suruhanjaya tersebut berhubung tragedi Kanjuruhan, di Pejabat Komnas HAM di Jakarta pada Rabu (2 Nov). 

Beliau juga menarik perhatian bahawa penggunaan gas pemedih mata ke atas para penonton di tempat duduk stadium bola sepak itu, khususnya, menyebabkan ramai orang berasa cemas dan tidak boleh bernafas, sehingga menyebabkan mereka meninggal dunia. 

Sebelum ini, anggota Komnas HAM Beka Ulung Hapsara menyatakan suruhanjaya tersebut menganggarkan bahawa pihak polis melepaskan gas pemedih mata sebanyak 45 kali. 

"Ia dianggarkan bahawa gas pemedih mata dilepaskan 45 kali di stadium sewaktu insiden tersebut," katanya. 

Gabungan faktor lain juga disebut sebagai punca kejadian itu, lapor agensi berita ANTARA. 

Ini termasuk pintu keluar yang terkunci, kapasiti berlebihan dan kekurangan prosedur keselamatan yang betul di stadium.

Keadaan huru-hara berlaku apabila penyokong cuba melarikan diri daripada semburan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pegawai yang cuba menyuraikan orang ramai di padang.

Penggunaan gas pemedih mata untuk mengawal orang ramai diharamkan oleh badan induk bola sepak dunia FIFA.

Sumber : Agensi berita/MM/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan