Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tragedi Stadium Kanjuruhan: Gas pemedih mata 'menghujani' kami, kata mangsa terselamat

Sekurang-kurangnya 125 orang maut dalam salah satu bencana bola sepak paling buruk di dunia, selepas polis melepaskan gas pemedih mata ketika peminat menyerbu padang di Malang, Jawa Timur.

Anggaran Waktu Membaca:

MALANG: Peminat bola sepak Firari Vilallah tidak pernah membayangkan perlawanan bola sepak kelab kegemarannya Arema FC akan meragut nyawa sekurang-kurangnya 125 orang.

Beraksi di padang sendiri, Arema FC kalah 2-3 dalam perlawanan menentang Persebaya Surabaya pada Sabtu (1 Okt) malam.

Namun, ketika Firari hendak meninggalkan Stadium Kanjuruhan di kota Malang, Jawa Timur itu, dia terperangkap di pintu keluar bersama ribuan lagi orang yang cuba lari keluar.

“Ada gas pemedih mata di mana-mana, jadi penyokong berasak-asak kerana panik.

"Dan orang ramai menolak satu sama lain, jadi ramai yang tidak dapat bergerak," kata lelaki berusia 22 tahun itu kepada Mediacorp.

Firari dan saudara lelakinya berjaya keluar dari stadium dengan selamat.

Bagaimanapun dia kemudian ternampak rakannya Evi Syaila terbaring dekat dengan pintu keluar stadium.

Firari membawa rakannya yang berusia 18 tahun itu pulang ke rumahnya kerana menyangka dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Namun, apabila Evi bangun pada pagi Ahad, dia tidak boleh makan atau minum.

"Seluruh tubuh saya sakit. Perut saya sakit,” katanya. 

Evi dibawa ke hospital tempatan di Malang dan doktor memberitahunya dia perlu dimasukkan ke hospital.

Evi percaya dia dipijak semasa rempuhan yang berlaku namun tambahnya dia tidak ingat apa sebenarnya yang berlaku.

“Ia berlaku secara tiba-tiba. Saya terkejut,” kata Evi.

Meskipun mereka terselamat, Firari kehilangan empat temannya.

“Saya hanya tahu selepas kira-kira pukul 3.00 pagi. Seorang lelaki dan tiga wanita,” katanya kepada Mediacorp.

Polis dikatakan terpaksa melepaskan gas pemedih mata, sekali gus menyebabkan lebih ramai penonton merempuh masuk ke dalam padang sehingga ada yang mati dipijak, terhimpit atau sesak nafas.

Malah, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mangsa yang terkorban dalam kejadian rusuhan bukan berpunca daripada pergaduhan antara penyokong.

Seorang pengarah hospital memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa salah seorang daripada mangsa rempuhan hanya berusia lima tahun.

Imej diambil dari dalam kawasan stadium semasa rempuhan berlaku menunjukkan pihak polis melepaskan sejumlah besar gas pemedih mata dan kelihatan orang ramai memanjat pagar.

Indonesia malam ini menjelaskan semakan semula jumlah mangsa tragedi mendapati angka sebenar korban ialah 125 orang.

Jurucakap pasukan itu berkata, perbezaan jumlah mangsa yang dilaporkan sebelum ini disebabkan kesilapan dalam rekod kematian di 10 hospital yang mengendalikan mangsa.

Jeneral Indonesia Listyo Sigit Prabowo melawat stadium Kanjuruhan Malang bersama menteri sukan Zainudin Amali dan gabenor Jawa Timur Khofifah Indar Parawansa pada Ahad malam. Encik Prabowo berkata mereka akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai tragedi itu.

"Oleh kerana jumlah kematian yang tinggi, kami akan menyiasat bagaimana (perlawanan) itu dianjurkan dan keselamatannya." “Kami sudah mengumpul data dari tempat kejadian. Apa yang jelas, kami akan menyiasat secara serius sehingga akhir,” tambahnya.

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan