Skip to main content

Dunia

Tragedi helikopter TLDM: Kementerian Pertahanan Malaysia sedia semak SOP raptai persembahan

Anggaran Waktu Membaca:
Tragedi helikopter TLDM: Kementerian Pertahanan Malaysia sedia semak SOP raptai persembahan

Menteri Pertahanan Malaysia Khaled Nordin. (Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 25 Apr 2024 04:51PM Dikemas Kini : 25 Apr 2024 04:52PM
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia sedia meneliti keperluan untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) persembahan raptai susuli nahas dua helikopter TLDM di Lumut, Perak pada Selasa (23 Apr) yang mengorbankan 10 anggotanya.

Dalam kejadian 9.32 pagi itu, dua helikopter TLDM terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat untuk kali ketiga sempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Menteri Pertahanan Malaysia Khaled Nordin berkata, keperluan bagi meneliti semula SOP itu akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan nahas berkenaan, menurut laporan agensi berita Free Malaysia Today.

“Kita akan ambil pengajaran dan tunggu laporan siasatan, dari situ kita akan lakukan perkara-perkara yang wajar,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM.

Pada Rabu (24 Apr), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan laporan interim nahas berkenaan akan siap dalam tempoh dua minggu.
Mengulas lanjut, Encik Khaled tidak menolak kemungkinan lembaga siasatan yang ditubuhkan TLDM akan memanggil semua pihak berpotensi termasuk syarikat pembekal helikopter bagi melengkapkan siasatannya.

“Jawatankuasa (lembaga siasatan) dibentuk dan mereka akan melihat, akan tentukan siapa yang akan (dipanggil untuk) membantu (siasatan). Kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya apa yang berlaku.

“Tiada apa yang mahu diketepikan dan disorokkan,” katanya, seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Pada Selasa lalu, dua helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pesawat itu kemudian terhempas masing-masing di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Nahas itu mengorbankan 10 nyawa termasuk kru dan penumpang.

Menysusuli nahas berkenaan, sambutan itu dibatalkan dan diganti dengan majlis bacaan doa selamat serta tahlil.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita