Tragedi Halloween Itaewon: Presiden Korea Selatan mohon maaf kepada negara; ikrar tuntut keadilan

(Gambar: Agensi berita)
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol pada Isnin (7 Nov) memohon maaf kepada negara atas rempuhan di Itaewon yang meragut nyawa.
Encik Yoon menegaskan beliau akan memastikan siasatan menyeluruh ke atas tragedi itu dijalankan dan bahawa mereka yang mencetuskan rempuhan itu dipertanggungjawabkan.
Presiden Yoon membuat permohonan maaf itu ketika satu mesyuarat yang diadakan untuk menilai kawalan kesesakan dan peraturan keselamatan lain berikutan tragedi yang membunuh 156 orang pada 29 Oktober, lapor agensi berita Yonhap.
"Saya tidak berani membandingkan diri saya dengan ibu bapa yang kehilangan anak lelaki dan anak perempuan mereka tetapi sebagai presiden yang sepatutnya melindungi nyawa serta keselamatan rakyat, saya berduka dan hati saya rasa berat," katanya.
"Saya meminta maaf kepada keluarga mangsa yang menempuh tragedi yang tidak boleh digambarkan serta juga kepada negara yang turut sama berkongsi kesakitan dan kedukaan."
Ini merupakan permohonan maaf rasmi pertama Encik Yoon kepada negara yang sebelum ini sudah memohon maaf sewaktu upacara persemadian penganut Buddha dan Kristian.
Encik Yoon sekali lagi menggesa pemerintah agar menguruskan kesan tragedi dengan cara yang bertanggungjawab serta meningkatkan peraturan antibencana dan keselamatan sedia ada supaya negara itu menjadi lebih selamat.
"Terutama sekali, untuk melindungi keselamatan orang ramai, kami memerlukan inovasi besar dalam cara polis bersiap sedia terhadap risiko dan mencegah kemalangan," kata Encik Yoon.
"Saya akan memastikan kebenaran mengenai tragedi ini ditentukan dengan menyeluruh dan proses tersebut didedahkan kepada umum secara telus, tanpa meninggalkan sebarang keraguan."
Encik Yoon bagaimanapun tidak menyentuh tentang cara beliau akan mencari kebenaran itu tetapi polis sudahpun menjalankan pemeriksaan dan siasatan dalaman berhubung masalah pengurusan tragedi tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.