Skip to main content

Dunia

Tragedi Gunung Dukono: Polis Indonesia kenal pasti malim gunung sebagai suspek selepas dipercayai cuai

Anggaran Waktu Membaca:
Tragedi Gunung Dukono: Polis Indonesia kenal pasti malim gunung sebagai suspek selepas dipercayai cuai

Jurupandu pendaki Reza Selang mengetuai pendaki mendaki Gunung Dukono yang meragut tiga nyawa dalam kejadian 8 Mei 2026. (Gambar: CNA/Nivell Rayda)

Diterbitkan : 21 May 2026 06:59PM Dikemas Kini : 21 May 2026 08:57PM
MAMUYA: Pihak berkuasa di wilayah Maluku Utara Indonesia mengenal pasti malim gunung dalam tragedi letusan Gunung Dukono yang meragut tiga nyawa sebagai suspek menyusuli semakan kes oleh penyiasat pada Rabu (20 Mei).

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Halmahera Utara, Rinaldi Anwar berkata, kes tersebut sudah dinaikkan ke peringkat siasatan selepas semakan mendapati terdapat bukti kukuh kecuaian.

“Berdasarkan hasil semakan kes dan fakta siasatan sedia ada, kami kini telah mengenal pasti RS (Reza Selang) atau Reza sebagai suspek,” kata Encik Rinaldi, seperti dipetik oleh Kompas.com.

Penyiasat menyoal siasat 11 individu termasuk seorang pakar undang-undang jenayah bagi menilai kecuaian yang dipercayai dilakukan oleh Reza yang didakwa menyebabkan kematian tiga mangsa, tambah Rinaldi.

Dua warga Singapura, Timothy Heng dan Shahin Muhrez Abdul Hamid serta warga Indonesia Angel Krishela Pradita maut dalam kejadian pada 8 Mei itu.

Mangsa yang terselamat termasuk tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia, termasuk Reza.
Reza sebelum ini memberitahu agensi berita Mediacorp bahawa beliau tidak mengetahui tentang nasihat tersebut ketika membawa kumpulan pendaki ke Gunung Dukono.

Dia menambah bahawa penduduk kampung setempat juga tidak memaklumkannya mengenai larangan itu.

Encik Rinaldi berkata menurut pakar undang-undang tersebut, pegawai pos pemantauan di agensi gunung berapi hanya bertanggungjawab memantau dan melaporkan aktiviti Gunung Dukono, dan tidak mempunyai kuasa untuk melarang pendaki.

Tanggungjawab penuh terhadap kejadian itu terletak pada Reza, kata pakar berkenaan.

Bukti baharu, termasuk keputusan bedah siasat dan kenyataan pakar, sudah dikumpulkan dan menyokong unsur jenayah dalam kes itu, kata Encik Rinaldi, sambil menambah bahawa barangan tambahan akan dirampas.

Tiga hari selepas kejadian, polis pada 11 Mei menyatakan pihaknya sedang menyiasat kemungkinan kecuaian jenayah dan sudah menyoal siasat enam individu, termasuk Reza.

Malim gunung itu, yang berasal dari pulau berdekatan Ternate, turut dilarang meninggalkan daerah Halmahera Utara.

Sebelum dikenal pasti sebagai suspek, Reza dilaporkan meminta kebenaran untuk bertemu keluarganya di Ternate, yang bermaksud beliau tidak berada di Halmahera Utara tempat siasatan dijalankan.

“Selepas semakan kes ini, kami akan memanggilnya,” kata Encik Rinaldi.

Beliau berkata jenayah yang dipercayai dilakukan itu disiasat di bawah Artikel 474 Kanun Jenayah Indonesia yang melibatkan kecuaian sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Kesalahan tersebut membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan/atau denda sehingga 500 juta rupiah (S$36,250).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita