Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trafik udara sekitar Taiwan hampir kembali sedia kala meski China umum latihan ketenteraan baru

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Lalu lintas udara di sekitar Taiwan kembali seperti biasa secara beransur-ansur selepas ruang udara di sekeliling pulau itu dibuka semula.

Demikian menurut Kementerian Pengangkutan dan Perhubungan Taiwan pada Isnin (8 Ogos) meskipun China kemudian mengumumkan latihan ketenteraan baru di kawasan berkenaan.

China minggu lalu mengerahkan beberapa pesawat dan melancarkan peluru berpandu semasa latihan ketenteraan yang tercetus dek lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan.
Tentera China mengumumkan latihan ketenteraan baru di laut dan ruang udara sekitar Taiwan pada Isnin (8 Ogos), namun tidak mendedahkan lokasi sebenar.

Awal dari itu, Kementerian Pengangkutan Taiwan menyatakan penerbangan yang dijadualkan berlepas dan mendarat di pulau tersebut sudah menyambung semula operasi ketika latihan ketenteraan China bermula pada 4 Ogos. Secara purata, kira-kira 150 pelepasan dan ketibaan pesawat dicatatkan setiap hari.

Jumlah penerbangan yang melakukan persinggahan melalui ruang udara yang diuruskan pengawalnya sudah secara beransur-ansur kembali seperti biasa selepas notis kepada pegawai udara (NOTAM) yang terakhir ditarik balik, tambah kementerian itu dalam kenyataan di lamannya.
Beberapa syarikat penerbangan asing, yang lazimnya menggunakan ruang udara tersebut, menggunakan laluan alternatif untuk melalui kawasan yang diuruskan oleh Jepun dan Filipina semasa latihan itu, menurut kementerian tersebut minggu lalu.

Penutupan ruang udara sementara dan perubahan laluan semasa latihan ketenteraan utama berlaku secara kerap di seluruh dunia.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan