Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tradisi tukar juadah berbuka masih diteruskan di Kedah

Ketika kecil dahulu kebanyakan daripada kita pasti merasai pengalaman disuruh ibu untuk menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran atau saudara bersebelahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tradisi tukar juadah berbuka masih diteruskan di Kedah

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 18 Apr 2022 10:41PM Dikemas Kini : 18 Apr 2022 10:41PM

ALOR SETAR: Ketika kecil dahulu kebanyakan daripada kita pasti merasai pengalaman disuruh ibu untuk menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran atau saudara bersebelahan.

Amalan itu meninggalkan nostalgia buat sebilangan besar daripada kita khususnya mereka yang kini berusia antara 40-an ke atas.

Lebih-lebih lagi bagi masyarakat di penempatan perkampungan, keakraban penduduk tidak dapat dinafikan lagi, lapor Astro AWANI.

Juadah yang dikirim melalui mangkuk tingkat atau popular dengan panggilan ‘sia’ bagi penduduk di negeri-negeri utara tanah air pula bagaikan satu kemestian.

Apa yang manisnya ialah, juadah yang dikirim tidak berbalas kosong, sebaliknya, ‘sia’ berkenaan pasti akan diisi oleh makanan lain sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

Andai ada yang beranggapan amalan berkenaan sudah semakin dipinggir atau dilupakan, tanggapan anda barangkali salah. Ini kerana tradisi bertukar juadah berbuka puasa masih diteruskan penduduk di Kampung Sungai Mati, Langgar di negeri jelapang padi.

Berkongsi cerita bersama Astro AWANI, seorang warga emas, Azizah Saad, 71 tahun, berkata, sudah menjadi rutinnya memastikan juadah berbuka yang dimasak akan dilebihkan kerana dia mahu berkongsi rezeki dengan jiran-jiran dan saudara-maranya.

Lazimnya, Cik Azizah akan masuk ke dapur selepas menunaikan solat Asar iaitu sekitar pukul 5.00 petang.
Sebaik selesai memasak, dia akan mengisi juadah berkenaan ke dalam ‘sia’ sebelum meminta cucunya menghantar kepada mereka yang ingin dikongsi rezeki itu.

“(Selalu) pukul 5.00 (petang) dah mula masa (dan) pukul 6.30 (petang) itu kira berantaq (kirim)… (selalunya) depa (jiran atau saudara) balas tak sama lauk, kadang-kadang cucuq (cucur) pun ada, bukan balas lauk semua,” kata Cik Azizah yang ramah bercerita dengan krew Astro AWANI.

Turut berkongsi cerita ialah Zabedah Saad, yang memberitahu amalan bertukar juadah berbuka puasa masih diteruskan sejak kampung mereka dibuka lebih 100 tahun lalu.

Katanya, tradisi itu masih kekal sama, namun, apa yang membezakannya ialah kebanyakan juadah yang ditukar dengan jiran tetangga itu bukan lagi hasil air tangan penduduk kampung.

Ini kerana, sebilangan daripada masyarakat di kampung itu khususnya kaum wanita yang bekerja, justeru, mereka tidak sempat untuk memasak dan lebih selesa membelinya di gerai atau bazar Ramadan.

Lantaran enggan tradisi itu pupus ditelan masa, Cik Zabedah menurunkan amalan itu kepada anak cucunya untuk meneruskannya. Katanya, biarpun kehidupan masyarakat hari ini semakin moden, namun, tradisi sebolehnya jangan dilupakan kerana melaluinya kecintaan kepada permulaan hidup seseorang itu akan terus kekal.

“Nak tinggai (tinggal) rasa sayang tradisi lama ini, hati ini tak lupa dok (asyik) ingat daripada dulu sampai ke la (sekarang),” kata Cik Zabedah yang berusia 70 tahun ini mengenai ingatannya terhadap amalan yang diwarisi daripada ibunya.

Setiap kali Ramadan, ujarnya, antara juadah yang sangat terkenal dan sering disediakan oleh penduduk kampung ialah tepung talam, bengkang dan ghasidah.

Sementara itu, bagi generasi muda pula, melihat kesetiaan dan generasi lama membibitkan rasa tanggungjawab mereka untuk meneruskan amalan itu.

Bertukar juadah sesama jiran, kata mereka, masih relevan, namun, dalam konteks kehidupan masyarakat hari ini khususnya bagi golongan yang tinggal di bandar, ia barangkali sulit untuk diamalkan kerana masing-masing terikat dengan komitmen pekerjaaan.

Bagi Mahdzir Hasan, mengimbas kembali kenangan ketika kecilnya disuruh ibu menghantar juadah berbuka puasa pasti akan membuatkan dia ketawa kerana pengalaman silam itu merakamkan terlalu banyak kegembiraan buatnya.

Suatu hal yang terus melekat di kotak fikiran Encik Mahdzir ialah, amalan itu mengakrabkan hubungan dia sesama penduduk kampung.

“Semua pakat dapat rasa juadah yang mak masing-masing buat, dulu-dulu masa kecik (kecil) meriah lah dok (asyik) hantaq (hantar), tapi zaman sekarang banyak orang lupa (amalan bertukar juadah),” katanya yang mencadangkan amalan itu perlu diteruskan bagi membolehkan generasi akan datang menghargai budaya silam.

Berkongsi kenangan lucu, Suriati Omar, 39, berkata, masih lagi melekat di fikirannya apabila dia menghabiskan juadah yang dibalas jirannya di pertengahan jalan pulan ke rumah kerana itu merupakan kuih kegemarannya.

Ada juga kenangan pahit bagi ibu kepada empat orang anak ini iaitu pernah terjatuh ke dalam longkang dan semua makanan yang dibawa rosak.
Mujur, kata Cik Suriati, ibunya tidak pula marah, sebaliknya, memahami keadaan yang berlaku.

Sumber : Agensi berita/SU/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa