Tradisi tembakan meriam Iftar di Libya dihidupkan semula selepas 48 tahun
Orang ramai di Tripoli pada hari pertama Ramadan, 23 Mac 2023. (Gambar: Mahmud Turkia/AFP)
TRIPOLI: Ibu kota Libya menyaksikan upacara tembakan meriam Iftar sempena Ramadan, yang dihidupkan semula selepas 48 tahun.
Upacara pada hari pertama Ramadan itu diadakan di Algiers Square dan dikawal selia oleh Perbandaran Tripoli Tengah, lapor agensi berita Anadolu.
Upacara itu turut dihadiri Ketua Perbandaran Tripoli Tengah Ibrahim Al-Khulaifi, tetamu kenamaan dan warga kota itu.
“Tembakan meriam Iftar merupakan tradisi lama bagi penduduk Tripoli dan kami gembira dengan sebarang langkah untuk mengembalikan tradisi dan kebudayaan masyarakat.
“Tradisi ini telah dihentikan sejak 1975 dan kini kami berazam untuk menghidupkan semula warisan itu,” kata Encik Al-Khulaifi kepada Anadolu.
Sementara itu, ahli Majlis Perbandaran Tripoli Tengah, Akram Abdel Majid Dribkeh berkata tujuan menghidupkan semula tradisi tembakan meriam Iftar adalah untuk memberi kegembiraan kepada para penduduk selepas keadaan kembali aman dan stabil.
“Tradisi ini mula dilaksanakan di Istana Saraya (kini muzium terbesar di Libya) pada awal tahun 1970-an tetapi kemudian dihentikan,” katanya.
Abdul Karim Al-Zarqani, seorang penduduk bandar Tripoli berkata tembakan meriam Iftar sememangnya wujud di beberapa negara Islam lain selain Libya.
Warisan itu diwujudkan kerana kekurangan alat pembesar suara untuk memberitahu para penduduk bandar bahawa sudah masuk waktu azan (Maghrib) menandakan waktu berbuka puasa pada ketika itu.
"Menghidupkan semula tradisi tembakan meriam Iftar adalah perkara yang menggembirakan kerana ia adalah antara adat paling penting dan berkait rapat dengan bulan Ramadan di negara ini sebelum ini, serta membentuk sebahagian daripada kenangan dan sejarah bandar ini," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.