Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tradisi paluan rebana bagi kejutkan penduduk bangun sahur dihidupkan semula di kawasan perumahan Ipoh

Anggaran Waktu Membaca:
Tradisi paluan rebana bagi kejutkan penduduk bangun sahur dihidupkan semula di kawasan perumahan Ipoh

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Apr 2023 05:24PM Dikemas Kini : 02 Apr 2023 09:02PM
IPOH: “Bangun sahur, bangun sahur”. Begitulah laungan yang kedengaran sambil diiringi paluan rebana diikuti selawat oleh sekumpulan penduduk sebagai tradisi kampung bagi mengejutkan umat Islam di sekitar kawasan Taman Klebang Putra 1 di Ipoh untuk bangun sahur awal pagi Ahad (2 Apr).

Program yang bermula kira-kira pada pukul 3.30 pagi dan berlangsung selama 30 minit itu melibatkan lebih 50 individu termasuk kanak-kanak dengan berjalan lebih kurang tiga kilometer mengelilingi kawasan perumahan tersebut dalam usaha ‘menghidupkan’ semula tradisi kampung itu semasa bulan Ramadan di kawasan bandar.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly, 36 tahun, berkata program tersebut yang julung kali diadakan menjadi wadah merapatkan jurang antara penduduk untuk membina perpaduan melibatkan masyarakat setempat.

“Kami (KRT) memikirkan kelainan untuk dilakukan pada bulan Ramadan dan program ini bertujuan menghidupkan tradisi untuk kita bawa kepada taman (kawasan perumahan) khususnya bandar,” katanya ketika ditemui para pemberita selepas Program Kejut Sahur Paluan Rebana anjuran KRT tersebut pada awal pagi Ahad.

Menurut Encik Mohamad Azrul, pihaknya mentimbangkan untuk mengadakan program itu secara berkala pada bulan Ramadan, selain cuba mengaktifkan kelab rebana bagi menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Rebana Klebang Putra Mohd Rizal Mohd Rajab, 48 tahun, berkata sesiapa sahaja boleh menggunakan khidmat kelab berkenaan bagi majlis tertentu.

“Sebelum ini kelab rebana ini biasa buat (aktif) di kampung-kampung, taman belum lagi, tetapi acara kali ini dari kampung ke taman. Daripada situ, tercetus idea untuk kejut sahur dengan paluan rebana ini ke taman,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Muhammad Adam Chua Abdullah, 54 tahun, berkata program pada Ahad itu merupakan acara pertama yang disertainya sejak memeluk agama Islam selama lebih 10 tahun.

Encik Muhammad Adam berkata program tersebut merupakan acara yang unik selain dapat mengenali lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan.

“Ahli keluarga, budak-budak pun boleh sertai. Ini pengalaman baru untuk saya dan saya rasa perlu sebagai masyarakat setempat menyertai aktiviti sebegini sebab selalunya sahur dengan ahli keluarga sahaja,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Danish Muqri Mohd Tajudin, 19 tahun, berkata kemeriahan terasa pada program tersebut kerana mendapat penyertaan daripada penduduk setempat.

“Apabila sertai program macam ini bagi yang tidak dapat merasa aktiviti di kampung, kini kita rasa sendiri bagaimana tradisi kejut sahur pagi di kampung. Sebelum ini ada baca (paluan rebana kejut sahur) tetapi tidak pernah ikut serta,” katanya yang merupakan mahasiswa Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak, Kampus Tapah.
Sumber : Bernama/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan