Skip to main content

Dunia

Tradisi nyalakan pelita kekabu dihidupkan kembali di Terengganu

Anggaran Waktu Membaca:
JERTIH: Menjelang hari raya, pelbagai idea menghias kediaman timbul dan tidak dinafikan, orang dulu-dulu lebih kreatif sehinggakan buah kekabu pun boleh dijadikan pelita.

Seorang petani, Mohd Zailani Mohd Nor, 48 tahun, dari Kampung Alor Belanga, Hulu Besut di Jertih berkata pelita kekabu bagaimanapun tidaklah popular sebagaimana pelita buluh, malah ia hampir tenggelam ditelan zaman.

“Saya mula serius menghidupkan semula tradisi menyalakan pelita raya buah kekabu sejak tahun lepas. Ia adalah cara tradisional masyarakat di Besut untuk menerangi kegelapan malam pada zaman dahulu.

“Saya belajar membuat pelita kekabu ini daripada arwah datuk saya sebelum terlintas untuk mempopularkannya kembali memandangkan generasi sekarang ramai yang tidak tahu buah kekabu pun boleh dijadikan pelita selain untuk buat bantal dan tilam,” katanya kepada Bernama.

Katanya walaupun pembuatan pelita menggunakan buah kekabu amat mudah, tidak ramai yang tahu kaedah membuatnya.

Encik Zailani berkata cara membuatnya hanyalah menggunakan buah kekabu muda yang dibelah dua dan setiap biji buah boleh menghasilkan dua pelita.

Katanya lagi, isi kekabu dikeluarkan sedikit untuk diisi minyak tanah atau diesel sebelum diletakkan kapas kekabu yang dijadikan sebagai sumbu.

“Pelita kekabu ini mampu menyala sehingga satu jam sahaja, namun buah yang sama boleh digunakan berulang kali,” katanya yang turut menjalankan perniagaan lemang setiap kali Ramadan.

Katanya memasang pelita buah kekabu di sekeliling rumah bukan sahaja tampak unik, malah dapat menceriakan dan menghidupkan minggu terakhir Ramadan.

Encik Zailani berkata bagaimanapun cabaran untuk menghasilkan pelita kekabu tetap ada kerana buah itu bermusim, tidak seperti buluh yang boleh diperoleh pada bila-bila masa.

 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita