Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tompok panas meningkat di Indonesia; 777 dikesan di Sumatera, Kalimantan sebanyak 363

Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu rentas sempadan selain memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan di Semenanjung, Sarawak dan barat Sabah.

Anggaran Waktu Membaca:
Tompok panas meningkat di Indonesia; 777 dikesan di Sumatera, Kalimantan sebanyak 363

Keadaan jerebu di Palangkaraya, KalimantanTengah, pada 14Sep 2019. (Gambar: TRI ISWANTO / AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2019 03:51PM Dikemas Kini : 22 Sep 2019 03:59PM

PUTRAJAYA: Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu rentas sempadan selain memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan di Semenanjung, Sarawak dan barat Sabah. Demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laporan status mutu udara dan jerebu pada hari ini (22 Sep).

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Pusat Meteorologi Khusus (ASMC), yang berpusat di Singapura, pada Sabtu (21 Sep), imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat peningkatan tompok panas dikesan di Sumatera iaitu 777 manakala tompok panas dikesan di Kalimantan pula meningkat kepada 363. 

"Asap jerebu dari Sumatera memberi kesan kepada hampir keseluruhan semenanjung. Kelompok tompok panas di bahagian barat, tengah dan selatan Kalimantan berterusan melepaskan asap jerebu serta memberi kesan di negeri Sarawak," menurutnya lagi.

Jelas JAS, sebanyak sembilan tompok panas dikesan di dalam negara iaitu tiga di Selangor, dua di Johor, dua di Terengganu dan dua di Sarawak. Terdapat tompok-tompok panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya.

"JAS sudahpun meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan kegiatan rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa," tambahnya.  

TIADA STESEN CATATKAN IPU PARAS 'BAIK'

Menurut JAS, secara keseluruhan, mutu udara dalam negara masih lagi menerima kesan jerebu rentas sempadan dengan bilangan stesen kualiti udara tidak sihat adalah 39 pada 11.00 pagi ini.

Kenyataan tersebut menambah IPU yang direkodkan pada waktu itu menunjukkan tiada stesen mencatatkan status mutu udara di tahap baik dan 28 stesen mencatatkan status mutu udara di tahap sederhana.

"Sebanyak 39 stesen mencatatkan bacaan IPU tahap tidak sihat pada hari ini antaranya Sungai Petani, Kedah (IPU 110); Balik Pulau, Pulau Pinang (160); Tasek Ipoh, Perak (178); Batu Muda, Kuala Lumpur (169), Putrajaya (134) dan Kuala Selangor (152)," menurut JAS.

Jabatan berkenaan menambah Sri Aman di Sarawak, yang menunjukkan bacaan IPU tahap bahaya iaitu lebih 300 pada Sabtu (21 Sep), menunjukkan penurunan dalam bacaan IPU kepada 195 iaitu tahap tidak sihat pagi ini. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan