Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tokoh perniagaan Robert Kuok kekal individu terkaya di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kekayaan terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada AS$81.6 bilion (S$110.2 bilion) daripada AS$80.5 bilion (S$108.7 bilion) pada tahun lalu walaupun mengalami penurunan dalam pasaran saham, menurut Forbes Asia.

“Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan perbelanjaan pengguna domestik yang pulih, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini.

“Walaupun negara kembali pulih selepas pandemik, pasaran saham merosot 8.0 peratus sejak kekayaan diukur kali terakhir dan ringgit turut susut hampir 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Singapura pada Khamis (1 Jun).

Dalam senarai terkini, tokoh perniagaan Robert Kuok, yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad.

Kuok, yang mendapat keuntungan tertinggi dari segi dolar pada tahun ini, adalah satu daripada hanya dua individu dalam senarai dengan kekayaan dua angka sebanyak AS$11.8 bilion (S$15.9 bilion).

Seorang lagi ialah Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif milik persendirian Hong Leong Group untuk cabang Malaysia, menduduki tempat kedua dengan kekayaan terkumpul sebanyak AS$10.2 bilion (S$13.8 bilion).

“Secara keseluruhannya, 19 kekayaan meningkat dan hampir separuh turun,” menurut Forbes Asia.

Walaupun berada dalam kategori kedua, tokoh logam Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal di tempat ketiga.

Gabungan kekayaan mereka sebanyak AS$5.8 bilion (S$7.8 bilion) berkurangan hampir 7.0 peratus daripada AS$6.2 bilion (S$8.4 bilion) pada tahun lepas, sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara berikutan kos bahan mentah dan pengangkutan yang tinggi.

Antara yang mendapat keuntungan yang tinggi dalam senarai pada tahun ini ialah duo bapa dan anak Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengawal syarikat gergasi kayu balak, Samling.

Mereka melonjak kepada No. 16 daripada No. 32 pada tahun lepas apabila kekayaan mereka meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion (S$1.69 bilion), berdasarkan maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

Bekas guru matematik Dr Chia Song Kun (No. 10), Pengerusi Eksekutif syarikat makanan laut keluarganya, QL Resources, kembali kepada kedudukan selepas jurang selama tujuh tahun apabila saham syarikat mencatatkan peningkatan hampir 20 peratus dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.

“Dua taikun yang disokong ekuiti swasta mendapat sokongan daripada urus niaga penting,” menurut Forbes Asia.

Syed Azman Syed Ibrahim (No. 24), yang Weststar Aviation Services mengendalikan kumpulan helikopter untuk perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di rantau Asia Pasifik, telah membeli semula 21 peratus kepentingan dalam firma pelaburan KKR dan kini bernilai AS$825 juta (S$1.1 bilion), naik 27 peratus daripada tahun lalu.

Kekayaan pengasas penyedia perkhidmatan pengebumian Nirvana Asia, David Kong (No. 23), meningkat berikutan cadangan penjualan oleh firma ekuiti swasta CVC Capital Partners untuk kepentingannya pada anggaran penilaian sebanyak AS$2 bilion (S$2.7 bilion).

Lima muka baru pada tahun ini termasuklah usahawan hartanah Chiau Beng Teik (No. 29), pengasas Chin Hin Group dan Yu Kuan Chon (No. 39), seorang doktor perubatan yang menguruskan YNH Property.

Pendatang baru yang lain ialah Ong Soon Ho (No. 32), pengasas kumpulan agrokimia Hextar dan Goh Nan Kioh (No. 40), yang memiliki firma pelaburan Mega First dan mempunyai kepentingan dalam D&O Green Technologies, menghasilkan diod pemancar cahaya untuk sektor automotif.

Menurut Forbes Asia, nilai bersih minimum untuk berada dalam senarai itu ialah AS$315 juta (S$425 juta), meningkat daripada AS$255 juta (S$344 juta) pada 2022.

Sementara itu, senarai tersebut menyaksikan Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat AS$400 juta (S$540 juta) kepada AS$5.4 bilion (S$7.3 bilion), menduduki tempat keempat.

Kekayaan pengasas Public Bank Teh Hong Piow, yang meninggal dunia pada Disember, kini disenaraikan di bawah anak-anaknya, adik-beradik Teh (No. 5).

Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan dalam edisi Jun Forbes Asia.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan