Tokoh Al-Quran terkenal Malaysia, Ustaz Hassan Azhari meninggal dunia
Tokoh agama Malaysia, khususnya pendidikan Al-Quran, Ustaz Haji Hassan Azhari, 91 tahun, meninggal dunia akibat barah limfoma pada sekitar 5.00 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Pelakon terkenal Jalaluddin Hassan bersama ayahnya, Allahyarham Ustaz Hassan Azhari. (Gambar: jalaludinhassan/Instagram)
KUALA LUMPUR: Tokoh agama Malaysia, khususnya pendidikan Al-Quran, Ustaz Haji Hassan Azhari, 90 tahun, meninggal dunia akibat barah limfoma pada sekitar 5.00 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.
Anaknya, Encik Musa Hassan, berkata bapanya sudah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lalu.
Menurut anak Allahyarham yang dihubungi media, jenazah Allahyarham bapanya akan dikebumikan esok di Makam Diraja Shah Alam atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Allahyarham Hassan Azhari adalah seorang pakar tajwid yang terkenal dalam bidang tilawah Al-Quran di Malaysia. Beliau sering menganggotai panel hakim musabaqah Al-Quran di peringkat antarabangsa.
Beliau merupakan individu yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Allahyarham Ustaz Hassan Azhari pernah menjadi pengajar dalam rancangan Muqaddam, program belajar membaca Al-Quran, selama lapan tahun di saluran televisyen RTM pada 1970-an.
Beliau mempunyai 22 orang anak, termasuk yang paling dikenali ialah anak lelaki yang pertama iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, dan pelakon terkenal Jalaluddin Hassan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.