TMJ sangkal dakwaan projek Forest City gagal
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dakwaan projek Forest City di Iskandar Puteri kononnya ia projek mega yang gagal adalah tidak benar dan merupakan fitnah disebarkan oleh pihak tertentu.
(Gambar fail Agensi berita)
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dakwaan projek Forest City di Iskandar Puteri kononnya ia projek mega yang gagal adalah tidak benar dan merupakan fitnah disebarkan oleh pihak tertentu.
Berkongsi perkembangan projek berkenaan menerusi catatan di akaun Facebook miliknya, Tunku Ismail berkata Forest City merupakan sebuah projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.
Menurutnya, projek berkenaan sudah menyumbang pendapatan sebanyak RM630 juta (S$205 juta) kepada kerajaan Johor dalam bentuk antaranya bayaran cukai dan dividen, selain telah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan dan menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion (S$455 juta) kepada 150 syarikat kontraktor tempatan.
"Ini secara langsung telah membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang,” menurutnya.
Menurutnya lagi, Forest City turut menerima anugerah ‘Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award’ dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA) pada akhir bulan lepas.
“Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya,”katanya.
Baru-baru ini, tular satu video berdurasi lebih 16 minit di media sosial yang mendakwa projek Forest City merupakan antara lima projek mega yang tidak memberi keuntungan dan paling tidak berguna di dunia.
Tunku Ismail berkata cabaran juga dihadapi dengan wabak COVID-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia dan situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga menyebabkan kadar penjualan yang kurang.
Beliau berharap apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.