Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

TMJ persoal masuk campur status Pulau Kukup dan bukan isu kuil

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan Pulau Kukup di Pontian akan kekal sebagai Taman Negara Johor, menurut laporan Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
TMJ persoal masuk campur status Pulau Kukup dan bukan isu kuil

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 11 Dec 2018 09:22AM Dikemas Kini : 11 Dec 2018 09:27AM

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan Pulau Kukup di Pontian akan kekal sebagai Taman Negara Johor, menurut laporan Malaysiakini.

Tunku Ismail juga mahu perkara itu tidak lagi diperbesarkan, sekaligus digunakan untuk menutup kelemahan pentadbiran negara pada masa ini.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung bidang kuasa persekutuan terhadap tanah di negeri itu.

Tunku Ismail membandingkan kenyataan Mahathir berhubung Pulau Kukup semalam (10 Dis) dengan kenyataannya berkaitan isu tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 29 November lalu.

"Pada 29 November, perdana menteri berkata hal tanah bawah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat tiada hak masuk campur. Dalam isu Pulau Kukup pula, beliau kata kerajaan pusat bukan 'orang luar' dan bertanggungjawab ke atas semua negeri.

"Kenapa kerajaan pusat ingin masuk campur dalam hal tanah di Johor, tapi tidak mahu melakukan perkara sama dalam isu kuil di Selangor?

"Dalam tempoh 12 hari saja, perdana menteri memberi dua kenyataan bercanggah mengenai bidang kuasa kerajaan pusat mengenai urusan tanah di negeri berlainan," katanya menerusi catatan di laman Facebooknya semalam (10 Dis).

Tunku Ismail mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa kerajaan pusat bukan 'orang luar' dan mahukan Pulau Kukup kekal sebagai hutan simpanan paya bakau.

Ini selepas Tunku Ismail menyifatkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar sebagai 'orang luar', justeru tidak masuk campur dalam isu status Pulau Kukup kerana isu tanah bawah bidang kuasa kerajaan negeri, lapor Malaysiakini.

Pulau Kukup diklasifikasikan sebagai Taman Negara sejak 1997. Menurut Malaysiakini, pewartaan itu dibatalkan pada 25 Oktober lalu dan kemudian ditukar menjadi tanah kesultanan.

Tapak Kuil Sri Maha Mariamman pula dimiliki oleh syarikat One City Development Sdn Bhd.

Dalam catatan Facebooknya, Tunku Ismail sekali lagi menegaskan Pulau Kukup akan kekal sebagai Taman Negara Johor.

"Sehingga hari ini tiada sesiapa pun yang mengeluarkan kenyataan mengenai pembangunan di Pulau Kukup.

"Apa sebenarnya isu baru yang perdana menteri ingin sampaikan? Keputusan sama iaitu Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor sudah pun dibuat oleh kerajaan negeri dan diperkenankan Sultan Johor sebelum ini.

"Janganlah memperbesarkan perkara yang sebenarnya tiada isu, demi untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan pusat," tambahnya. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan