Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

TMJ kemuka 3 cadangan pastikan kes dera dilalui Bella tidak berulang

Anggaran Waktu Membaca:
TMJ kemuka 3 cadangan pastikan kes dera dilalui Bella tidak berulang

Gambar: Facebook/ HRH Crown Prince of Johor

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang.

Menerusi pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun di Royal Johor Polo Club di Johor Bahru, Tunku Ismail mencadangkan agar kerajaan menambah baik dengan segera undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ia (penambahbaikan) harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, pentauliahan, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Ini untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” kata Tunku Ismail dalam catatan di Facebook pada Selasa (19 April).

Tunku Ismail berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu melakukan penguatkuasaan dengan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan serta menutup segera pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram, iaitu pelaksanaannya bermula di Johor.

Beliau menambah bahawa tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

“Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain. 

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksana segera,” kata Tunku Ismail.

Pertemuan tersebut turut disertai Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam, Wakil UNICEF ke Malaysia Amanda Bissex dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin Nisa Ismail.

Kes Bella meraih perhatian masyarakat sejak tular di media sosial tahun lalu selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Berikutan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30 tahun, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Johor Bahru antara Februari hinga Jun 2021.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan