TMJ dakwa istana diintip; polis akan siasat jika ada bukti
Tunku Mahkota Johor (TMJ) boleh memberikan bukti kepada pihak berkuasa ekoran dakwaan beliau kerajaan menggunakan peranti tertentu bagi mengintip istana atau rakyat Malaysia.

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: Howard Law)
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ) boleh memberikan bukti kepada pihak berkuasa ekoran dakwaan beliau kerajaan menggunakan peranti tertentu bagi mengintip istana atau rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman menjelaskan kerajaan atau pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak ada mengeluarkan arahan supaya pengintipan tersebut dijalankan.
Malaysiakini melaporkan Encik Mohd Azis berkata jika Tunku Ismail Sultan Ibrahim memiliki maklumat mengenai kegiatan tersebut, beliau diharap dapat menyalurkannya kepada pihak yang berkenaan supaya boleh disiasat.
"Kerajaan menafikan dan jika benar Tunku Mahkota Johor ada maklumat perkara tersebut, kami minta beliau maklumkan kepada kami," katanya seperti dipetik Sinar Online.
Pada Ahad (9 Sep) Tunku Ismail membuat dakwaan terbuka menerusi Facebook bahawa kerajaan sedang memantau beliau serta Sultan Johor menggunakan peranti khas buatan Israel.
Menurut kenyataan tersebut maklumat mengenai pengintipan berkenaan disampaikan kepada Tunku Ismail oleh seseorang, namun identitinya tidak didedahkan, menurut Malaysiakini.
TMJ juga menjelaskan ramai tentera siber (cybertrooper) diletakkan di akaun Facebook Sultan Ibrahim serta kelab bola sepak JDT.
Menurut Encik Mohd Azis kerajaan akan menjalankan siasatan jika ada bukti menunjukkan kegiatan pengintipan seperti didakwa TMJ itu berlaku.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd sebagai berkata tiada sebarang aduan mengenai isu itu diterima pihaknya setakat jam 8.00 malam tadi.
"Sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat atau diterima polis Johor berhubung kenyataan TMJ berkenaan,” katanya dipetik Harian Metro Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.