Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tinjauan IPSOS dapati 45% rakyat M'sia hidup 'cukup makan'

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan IPSOS dapati 45% rakyat M'sia hidup 'cukup makan'

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 08 Aug 2022 06:51PM Dikemas Kini : 08 Aug 2022 06:51PM
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak terasing daripada terkena tempias inflasi yang kini melanda serata dunia, dengan 45 peratus rakyat mengakui situasi kewangan mereka sekadar cukup makan.

Tinjauan melalui Ipsos Global Inflation Monitor mendapati rakyat Malaysia terpaksa mengikat perut berikutan tekanan daripada inflasi dan kenaikan kadar faedah, lapor Astro AWANI.
Malah, jumlah rakyat Malaysia yang mengakui mereka hidup dengan selesa amat kurang berbanding ekonomi-ekonomi utama yang lain, iaitu hanya 29 peratus di Malaysia berbanding 42 peratus di Korea Selatan, 53 peratus di India dan 40 peratus bagi purata global.

“Kenaikan kadar faedah yang dijangka akan berlaku memberi kesan kepada empat daripada sepuluh orang rakyat Malaysia dalam bentuk pendapatan boleh guna yang lebih rendah dalam masa terdekat, menyebabkan penurunan taraf hidup mereka," kata Pengarah Bersekutu Ehwal Awam Ipsos Lars Erik Lie seperti ditukil Astro AWANI.

“Penurunan mendadak dalam tahap keselesaan rakyat Malaysia ketika melakukan pembelian isi rumah dan pembelian lebih besar menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menilai semula keutamaan dalam perbelanjaan jangka pendek,” tambah beliau.

Meskipun kebimbangan berhubung COVID-19 kini berkurangan, kadar inflasi dan kemiskinan sudah memintas pandemik itu sebagai perkara utama yang kini menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.

Setakat Julai, 42 peratus responden bersetuju bahawa inflasi menjadi kebimbangan utama, diikuti isu kemiskinan dengan 35 peratus dan wabak COVID-19 sebanyak 24 peratus.

Rentetan daripada tekanan inflasi, trend pembelian dalam kalangan rakyat mula merosot sejak dua bulan lalu, dengan hanya 32 peratus responden bersetuju mereka selesa membuat pembelian barangan utama seperti rumah dan kereta pada bulan Jun, berbanding 40 peratus pada Mei lalu, lapor Astro AWANI.

“Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, perbelanjaan untuk bersosial dan bercuti adalah antara perkara pertama yang dipotong apabila belanjawan isi rumah mula dibuat dengan lebih berhati-hati.

“Ia diikuti penangguhan pembelian-pembelian besar dan pengurangan perbelanjaan isi rumah, sebelum perbelanjaan untuk makanan dikurangkan atau simpanan digunakan,” kata Encik Lars.
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa