Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan terhadap kejatuhan ringgit harus seimbang demi kebaikan rakyat, pelabur, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
 Tindakan terhadap kejatuhan ringgit harus seimbang demi kebaikan rakyat, pelabur, kata PM Anwar

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

KUALA SELANGOR: Kejatuhan nilai ringgit adalah cabaran yang serius dan memerlukan kerajaan bertindak dengan pendekatan yang bijak agar tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan perlu mengambil pendekatan seimbang untuk mengekalkan keyakinan pelabur.

“Apabila nilai ringgit jatuh, antara cadangan yang diberikan ialah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Namun, tindakan ini boleh menyebabkan kadar faedah untuk pinjaman kenderaan, pinjaman rumah dan pinjaman kepada peniaga kecil meningkat.

“Hal ini boleh meningkatkan beban hutang kepada golongan seperti ini,” kata beliau pada perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad (25 Feb).

Encik Anwar menjelaskan pengalaman pada tahun 1998 apabila kadar OPR dinaikkan adalah kerana ketika itu, kadar inflasi naik mendadak dan pelaburan yang amat berkurangan.

“Oleh itu, tindakan untuk mengawal kejatuhan nilai ringgit pada ketika ini harus diambil dengan berhati-hati.

“Keadaan ekonomi terkini menunjukkan bahawa walaupun nilai ringgit turun, inflasi juga turun dan pelaburan negara meningkat.

“Sebagai contoh, pelaburan pada 2023 mencatatkan jumlah yang tertinggi dalam sejarah, menunjukkan kepercayaan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi negara,” katanya.

Encik Anwar berkata kestabilan politik Malaysia dan dasar ekonomi yang jelas adalah faktor penting yang dapat menarik pelabur, dan polisi sebegitu perlu dikekalkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengekalkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan