Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan tegas terhadap pihak apikan sentimen kaum, agama

Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menghina mana-mana agama.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan tegas terhadap pihak apikan sentimen kaum, agama

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin. (Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)

Diterbitkan : 02 May 2019 11:27PM Dikemas Kini : 02 May 2019 11:30PM

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menghina mana-mana agama.

Beliau berkata ia termasuk percubaan mengadakan satu perhimpunan Sabtu ini
yang dilihat cuba mengapi-apikan sentimen kaum dan agama terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Encik Muhyiddin berkata perhimpunan itu jelas merupakan dakyah pihak  tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih laba politik dengan sengaja mengapi-apikan sentimen ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan menasihati rakyat Malaysia supaya memelihara keharmonian kaum dan agama di negara kita,” katanya dalam wawancara bersama media mengenai kementeriannya sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan hari ini (2 Mei).

Tegasnya lagi dakwaan pihak tertentu kononnya kedudukan Islam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) semakin terancam adalah satu pembohongan.

“Apa yang pasti kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan yang  telah termaktub dalam Perlembagaan Negara tidak akan berubah (di bawah pentadbiran Pakatan Harapan) ,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya memandang serius isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W, agama Islam dan institusi raja di media sosial.

Tindakan tegas diambil oleh polis dengan 53 kes disiasat dan daripada jumlah itu lapan individu dituduh di mahkamah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. 

Sumber : Bernama/SU/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa