Tindakan tegas digesa terhadap individu disyaki dera kanak-kanak dalam video tular
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang disyaki terlibat dalam penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang disyaki terlibat dalam penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.
KWPKM menegaskan perbuatan itu adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“KPWKM memandang serius berhubung video tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pendidik disyaki melakukan penderaan kepada kanak-kanak di sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika).
“Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak,” demikian menurut kenyataan kementerian itu hari ini.
Pada Jumaat (26 Mac), tular klip video berdurasi 10 saat memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.
Menyusuli kejadian itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya memanggil guru tersebut bagi memberikan keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Berikutan isu itu, KPWKM juga akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus tadika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.