Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan tegas diambil jika kecuaian punca tanah runtuh

Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak pemaju dan kontraktor sekiranya terbukti faktor kecuaian menjadi punca kejadian tanah runtuh di kawasan tapak pembinaan projek lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan tegas diambil jika kecuaian punca tanah runtuh

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Oct 2018 07:24PM Dikemas Kini : 25 Oct 2018 07:26PM

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak pemaju dan kontraktor sekiranya terbukti faktor kecuaian menjadi punca kejadian tanah runtuh di kawasan tapak pembinaan projek lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata kementerian itu akan berbincang dengan kerajaan negeri serta semua pihak yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

“Kami sedang mengikuti perkembangan kejadian tanah runtuh ini, sekiranya benar wujud kecuaian, penyembunyian fakta dan sebagainya, sudah pasti tindakan tegas akan diambil supaya perkara sedemikian tidak akan berulang.

“Kita juga bimbang sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada projek pembangunan bernilai jutaan ringgit sahaja tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan manusia,” kata Encik Mohd Anuar semasa sidang media selepas melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) dan Asean Super 8 di Kuala Lumpur hari ini (25 Okt).

ICW 2019 bertemakan ‘Construction Beyond 2020’ akan berlangsung dari 18 hingga 21 Mac tahun depan. Ia merupakan acara tahunan terbesar dan paling penting, meliputi spektrum industri pembinaan di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Acara itu akan menghimpunkan para pemain industri pembinaan di bawah satu bumbung untuk mempamer, mempelajari, menjalin hubungan dan saling mengongsi idea inovasi.

KEJADIAN TANAH RUNTUH MASIH DISIASAT

Sementara itu, Encik Mohd Anuar berkata laporan penuh berhubung kejadian tanah runtuh tersebut masih dalam siasatan pihak kementerian serta kerajaan negeri Pulau Pinang. Hasil siasatan itu akan diketahui secepat mungkin.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lalu (19 Okt) meragut nyawa 10 pekerja asing.

Empat yang lain cedera dan kejadian itu turut menimbus 13 kontena serta rumah kongsi penempatan pekerja projek.

Insiden tersebut merupakan kejadian kedua seumpama itu yang berlaku di Pulau Pinang selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tahun lalu yang meragut nyawa 11 pekerja. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan