Tindakan tegas di Asia Tenggara dorong sindiket penipuan beralih ke Sri Lanka
Lonjakan jumlah tangkapan suspek yang dipercayai penipu asing di Sri Lanka mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa bahawa pulau itu kini menjadi hab jenayah online.
Pengawal penjara menggiring warga China, yang ditahan kerana disyaki mengendalikan pusat penipuan siber, ke sebuah penjara selepas mereka diberkas di Colombo pada 9 Mei 2026. (Gambar: AFP/Ishara S Kodikara)
Ini menyusuli operasi besar-besaran menyerbu pusat-pusat yang dipercayai menjadi sarang kegiatan penipuan di Kemboja dan Myanmar.
Menurut para pegawai, beberapa sindiket penipuan yang dipaksa keluar dari negara-negara Asia Tenggara kini beralih ke pangkalan baharu, dengan Sri Lanka semakin menjadi pilihan mereka disebabkan oleh rejim visa yang longgar serta kemudahan internet berkelajuan tinggi yang boleh dipercayai.
Sejak awal tahun ini, polis memberkas lebih 1,000 warga asing, kebanyakannya dari China, Vietnam dan India, kerana disyaki terbabit dalam jenayah siber, kata jurucakap polis Fredrick Wootler.
Jumlah itu meningkat berbanding 430 tangkapan sepanjang 2024. Jumlah tangkapan pada tahun sebelumnya adalah lebih rendah daripada itu.
Bulan lalu, pegawai kastam Sri Lanka memintas sembilan warga China yang cuba menyeludup ratusan telefon bimbit dan komputer riba terpakai, sekali gus mencetuskan syak wasangka bahawa peralatan itu akan digunakan dalam operasi penipuan berskala besar.
Kompleks penipuan yang memperdaya pengguna internet menerusi hubungan cinta palsu, pelaburan mata wang kripto dan platform judi palsu semakin berleluasa di seluruh Asia Tenggara.
Pada mulanya, kumpulan jenayah di sebalik penipuan tersebut menyasarkan golongan yang bertutur dalam bahasa Cina, tetapi operasi mereka kemudian diperluas untuk merangkumi pelbagai bahasa lain.
Mereka yang menjalankan kegiatan penipuan itu ada kalanya merupakan penipu yang melakukannya secara sukarela. Ada juga warga asing yang diperdagangkan dan dipaksa untuk bekerja.
Menurut para pegawai, sindiket yang beroperasi di Sri Lanka menyasarkan mangsa di seluruh Asia termasuk India, Vietnam dan Filipina, tetapi terdapat kebimbangan yang semakin meningkat bahawa rakyat Sri Lanka sendiri mungkin menjadi sasaran seterusnya.
Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada sindiket asing terlibat dalam serangan siber baru-baru ini terhadap perbendaharaan Sri Lanka yang mengakibatkan kerugian sekitar AS$2.5 juta (S$3.20 juta).
PEMILIK HARTANAH DIBERI AMARAN
China, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini mempertingkat kerjasama dengan pemerintah serantau untuk membanteras sindiket penipuan, akur kegiatan penipuan itu sudah beralih tempat.
Kedutaan China di Colombo menyatakan kegiatan haram di Sri Lanka meningkat selepas tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di Kemboja, Myanmar serta Amiriah Arab Bersatu (UAE).
“Pemerintah China memandang serius trend ini,” menurut kenyataan kedutaan itu sambil berikrar untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan Sri Lanka.
Sindiket yang berpindah dari Myanmar dan Kemboja, di mana pihak berkuasa memperhebat serbuan dan penghantaran pulang suspek, mengambil kesempatan atas visa pelancong 30 hari yang ditawarkan Sri Lanka kepada warga dari lebih 40 negara termasuk India dan China.
Warga negara lain pula boleh memohon permit dengan mudah secara online.
Kumpulan jenayah kini menjalankan operasi mereka di ruang-ruang sewaan termasuk vila mewah dan kompleks pejabat.
Polis sudah pun memberi amaran kepada para pemilik hartanah agar tidak menyewakan vila dan apartmen kepada individu yang disyaki menjalankan penipuan, sambil menyatakan mereka boleh didakwa kerana membantu kegiatan jenayah tersebut.
Skala besar operasi tersebut semakin jelas sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan polis “menerima banyak panggilan setiap hari”, kata Encik Wootler.
Beliau memberitahu AFP bahawa dalam satu malam pada minggu ini sahaja, “kami menjalankan lima serbuan” di daerah pesisir Galle dan Matara, yang membawa kepada penahanan 192 suspek warga India dan 29 warga Nepal.
Seramai 280 lagi suspek asing diberkas minggu lalu berhampiran ibu kota Colombo, manakala 135 warga China ditangkap pada Mac di sebuah sarang penipuan.
KRISIS SERANTAU
Sedang jumlah kes terus meningkat, pihak imigresen kini memainkan peranan lebih besar dalam menjalankan siasatan.
“Kami mengerahkan pegawai kami secara langsung kerana peningkatan jumlah kes yang dikendalikan polis,” kata seorang pegawai imigresen kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Perluasan sindiket jenayah itu mencerminkan krisis serantau yang lebih besar.
Satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan tahun ini menganggarkan sekurang-kurangnya 300,000 orang diperdagangkan ke kompleks-kompleks penipuan di seluruh Asia Tenggara.
Walaupun pihak berkuasa Sri Lanka mengatakan mereka belum mengenal pasti warga asing yang diperdagangkan masuk ke negara itu, puluhan rakyat Sri Lanka sudah diselamatkan daripada kompleks-kompleks penipuan di luar negara sepanjang tahun lalu.
Encik Wootler berkata pihak berkuasa sedang melakukan segala yang termampu untuk menangani masalah yang semakin membimbangkan itu, termasuk menghantar pulang warga asing yang tinggal melebihi tempoh visa serta memastikan mereka yang terlibat dalam jenayah online “dihukum oleh mahkamah kami”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.