Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tindakan AS label Houthi di Yaman, sebagai pengganas akan bawa padah buruk: PBB

Keputusan kerajaan pemerintah Amerika Syarikat (AS) melabel kumpulan pemberontak Houthi di Yaman, sebagai pengganas, kemungkinan akan mencetuskan kesan serius, lapor Agensi Berita Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan AS label Houthi di Yaman, sebagai pengganas akan bawa padah buruk: PBB

Pasukan bersenjata Houthi menaiki kenderaan polis pada 19 Feb 2020 di Sanaa, Yaman (Gambar fail: REUTERS/Khaled Abdullah)

Diterbitkan : 12 Jan 2021 03:24PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 03:26PM

NEW YORK: Keputusan kerajaan pemerintah Amerika Syarikat (AS) melabel kumpulan pemberontak Houthi di Yaman, sebagai pengganas, kemungkinan akan mencetuskan kesan serius, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Keputusan itu mungkin akan membawa kesan kemanusiaan dan politik yang serius," kata jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Stephane Dujarric, semasa taklimat media pada Isnin (11 Jan).

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata Washington akan menyenaraikan pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran sebagai organisasi pengganas asing, satu tindakan disifatkan kumpulan bantuan boleh menghalang usaha menangani krisis kemanusiaan yang dianggap terburuk di dunia.

Encik Pompeo turut menyebut mengenai serangan 30 Disember di Lapangan Terbang Aden, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan lebih 50 yang lain.

Ketua diplomat itu akan mengemukakan rancangannya kepada Kongres pada 19 Januari dan, jika AS meneruskan tindakannya itu, ia akan memberi kesan negatif kepada import makanan dan barangan keperluan lain, terutamanya ketika lebih ramai rakyat Yaman mengalami kebuluran, tegas Encik Dujarric.

Encik Pompeo dalam kenyataan pada Ahad mengakui tindakan tersebut akan memberi "kesan terhadap situasi kemanusiaan di Yaman," sambil menambah AS akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesannya.

Encik Dujarric meminta AS memastikan lesen dan pengecualian diberikan, agar bantuan kemanusiaan sampai kepada golongan memerlukan, dan sektor swasta terus berfungsi bagi mencegah keruntuhan ekonomi dan kebuluran berskala besar.

Operasi kemanusiaan besar-besaran di negara ini, yang terbesar di dunia, tidak dapat menggantikan sektor swasta atau mengimbangi penurunan besar dalam import komersial, tambahnya.

Proses politik di Yaman juga berisiko tidak stabil akibat pelabelan pengganas, kata Encik Dujarric, dan posisi pihak penentang dalam konflik yang menggegarkan negara itu sejak 2015, akan menjadi lebih teruk.

Menurut PBB pada Disember, lebih 230,000 rakyat Yaman mati dalam perang, kebanyakannya berpunca oleh kekurangan makanan, perkhidmatan kesihatan dan infrastruktur.

Encik Dujarric berikrar badan dunia itu akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk "melanjutkan dan meneruskan proses politik yang inklusif untuk mencapai penyelesaian perundingan yang komprehensif bagi mengakhiri konflik."

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan