Skip to main content

Dunia

Tindakan India arah pengeluar telefon bijak pasang aplikasi pemerintah cetus keprihatinan pengguna

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan India arah pengeluar telefon bijak pasang aplikasi pemerintah cetus keprihatinan pengguna
Siri iPhone 17 yang baru dilancarkan dipamerkan di sebuah kedai Apple di New Delhi, India pada 19 September 2025. (Gambar: REUTERS/Bhawika Chhabra/Gambar Fail)
NEW DELHI: India mengarahkan para pengeluar telefon bijak supaya memasang aplikasi keselamatan siber kendalian pemerintah yang tidak boleh dipadamkan, satu langkah yang menimbulkan kebimbangan terhadap privasi pengguna.

India mempunyai 1.16 bilion pengguna telefon bimbit, menurut data pemerintah dari 2024. Pihak berkuasa menyatakan aplikasi itu akan melindungi para pengguna daripada penipuan dengan lebih berkesan.

Pada lewat Isnin (1 Dis), New Delhi memberi tempoh 90 hari untuk para pengilang telefon bimbit mematuhi peraturan baharu yang menyatakan aplikasi "Sanchar Saathi" - yang bermaksud rakan komunikasi dalam Bahasa Hindi - mesti "dipasang terlebih dahulu pada semua telefon bimbit yang dihasilkan atau diimport untuk digunakan di India".

Ia mengarahkan syarikat-syarikat, termasuk Apple, Samsung dan Xiaomi, untuk memuat naik aplikasi tersebut terlebih dahulu dalam telefon bijak masing-masing.

Arahan yang dinyatakan secara terperinci dalam satu kenyataan media, juga meminta pengilang telefon bijak supaya memastikan aplikasi itu "mudah dilihat dan boleh diakses oleh para pengguna ketika menggunakannya buat pertama kali atau semasa memulakan fungsi peranti dan fungsinya tidak boleh dilumpuhkan atau atau dihadkan".

Pemerintah India menyatakan bahawa aplikasi itu direka sedemikian rupa untuk membolehkan para pengguna menyekat dan menjejaki telefon bimbit yang hilang atau dicuri.

Ia juga membolehkan para pengguna untuk mengenal pasti dan memutuskan khidmat langganan yang dibuat atas nama mereka, antara fungsi-fungsi lain.

Perangkaan pemerintah menunjukkan aplikasi itu sudah membantu mengesan lebih daripada 2.6 juta telefon bimbit.

Kementerian Telekomunikasi India mengesahkan langkah itu, sambil menyifatkannya sebagai langkah keselamatan untuk memerangi "bahaya serius" keselamatan siber. Sungguhpun demikian, para pesaing politik Perdana Menteri Narendra Modi dan para penyokong privasi mengkritik langkah tersebut, dengan mendakwa ia adalah satu cara pemerintah mendapatkan akses kepada 730 juta telefon bijak di India.

Apple tidak merancang untuk mematuhi peraturan itu dan akan menyampaikan kebimbangannya kepada New Delhi, kata tiga sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Apple sebaliknya akan memberitahu pemerintah India bahawa ia tidak akan mematuhi mandat sedemikian kerana ia menimbulkan pelbagai isu privasi dan keselamatan bagi ekosistem iOS syarikat tersebut, menurut dua sumber industri yang memahami keprihatinan Apple. Mereka enggan mendedahkan nama mereka secara terbuka kerana strategi syarikat itu adalah sulit.

Ogos lalu, Rusia mengeluarkan arahan serupa yang mengarahkan para pengeluar untuk memasang platform pesanan baharu yang dipanggil Max pada semua telefon bijak dan tablet baharu. Namun, para pejuang hak asasi memberi amaran bahawa aplikasi itu boleh digunakan sebagai alat pengawasan.
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita