Tindakan akan diambil ke atas Najib kerana dedah dokumen embargo - Dr Mahathir
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Parlimen akan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang memuat naik kandungan Kertas Putih FELDA berstatus ‘embargo’ di Facebook, petang semalam (9 Apr).

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata Parlimen akan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang memuat naik kandungan Kertas Putih FELDA berstatus ‘embargo’ di Facebook, petang semalam (9 Apr).
Dr Mahathir berkata kerajaan memandang serius tindakan Ahli Parlimen Pekan itu kerana ia melanggar peraturan mesyuarat dan menghina Dewan Rakyat.
“Ini bukanlah wakil rakyat baru dilantik, tapi seorang yang pernah menjadi perdana menteri tapi tidak mengambil kira peraturan-peraturan.
“Dia mencetak (memuat naik) satu kertas yang telah diembargo. Jadi, kita pandang serius perkara ini dan kita akan ambil tindakan supaya dia akan diberi peringatan bahawa tidak ada siapa yang lebih tinggi daripada peraturan-peraturan parlimen,” kata Dr Mahathir pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini (10 Apr).
Dilaporkan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah mengemukakan satu usul supaya Encik Najib dikenakan tindakan tegas kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA.
Beliau berkata usul itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Encik Mohamad Ariff Md Yusof.
Menerusi Facebook jam 5.39 petang semalam (9 Apr), Encik Najib memuat naik satu gambar menunjukkan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini (10 Apr), lapor BH Online.
Encik Najib berbuat demikian bagi mempertahankan dirinya terhadap dakwaan beliau memaksa FELDA membeli 37 peratus pegangan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) daripada PT Rajawali Capital International, hingga FELDA kerugian berbilion ringgit.
Tambah BH Online lagi, Kertas Putih FELDA itu diletakkan status embargo dan hanya boleh didedahkan kepada umum selepas jam 11.30 pagi tadi.
Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat, menurut BH Online.
Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 pula memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati bersalah menghina Dewan Rakyat, boleh didenda tidak lebih RM1,000 (S$330).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.