Timur Tokyo dilanda gempa 6.2 Richter, tiada amaran tsunami dikeluarkan

(Gambar: Google Maps)
TOKYO: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.2 skala Richter melanda pantai Jepun di timur Tokyo pada Jumaat (26 Mei), menurut agensi meteorologi Jepun.
Namun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Bangunan besar di ibu kota Jepun itu bergegar dan khidmat kereta api dihentikan sementara apabila gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 50 kilometer sekitar pukul 7.03 malam waktu tempatan di perairan Pasifik berhampiran wilayah Chiba.
Tiada kegiatan luar biasa dikesan di loji nuklear di sekitar rantau itu, menurut pihak berkuasa nuklear Jepun.
Beberapa saat sebelum penduduk di Tokyo merasakan gegaran, sistem amaran awal Jepun bagi gempa bumi memaklumkan rangkaian televisyen untuk memberi amaran tentang gempa bumi kuat yang bakal melanda.
"Ia rasa seperti berada di atas bot yang terapung - asyik bergoyang dan rasanya seperti lebih 30 saat," kata seorang penyampai NHK di Chiba selepas berlakunya gempa itu.
Jepun mempunyai undang-undang pembinaan yang ketat, bagi memastikan bangunan boleh menahan gempa bumi kuat. Negara itu juga kerap menjalankan latihan kecemasan sebagai persiapan menghadapi gempa besar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.