Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli lancar petisyen bantah PRU15 semasa musim banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli lancar petisyen bantah PRU15 semasa musim banjir

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Sep 2022 05:55PM Dikemas Kini : 28 Sep 2022 05:55PM

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli melancarkan petisyen pada Selasa (27 Sep) bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa banjir.

Encik Rafizi menjelaskan hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan ahli politik untuk menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir dan bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.

"Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran."

"Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa (27 Sep).

Dalam pada itu, Encik Rafizi turut memaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.

"Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir. Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini.

"Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk," ujarnya.

Tambah beliau, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi malah mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

"Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

"Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu," katanya.

Menurutnya lagi, PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 bilion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya.

"Sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

"Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya malahan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir," ujarnya lagi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa